Walaupun pendapat Imam Syafie berjemaah di masjid adalah fardhu kifayah sahaja tetapi fadhilatnya begitu besar dan perlu diberi penekanan. Persoalan yang sama pernah di tanya oleh pembaca berita harian dan di bawah adalah Jawapan dari Ustaz Zahazan - seorang penceramah bebas terkenal yang kerap muncul di kaca TV.
Semoga abah dan arriesfamily diberi kekuatan untuk terus berada pada jalan-Nya dan terus mengimarahkan rumah-rumah Allah sebagaimana tuntuntan-Nya......
SOALAN:
ANTARA sembahyang fardu berjemaah di rumah dengan masjid atau surau, manakah lebih dituntut Islam dan perlu saya utamakan? Saya ada kalanya di sindir jiran kerana jarang ke surau sedangkan saya mengerjakan solat berjemaah bersama keluarga di rumah.
H Ahmad,
Petaling Jaya, Selangor.
JAWAPAN:
Untuk menjelaskan kepentingan solat berjemaah, lebih baiknya kita meneliti hadis yang menjelaskan kelebihannya.
Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang solat Isyak berjemaah seperti solat setengah malam dan siapa solat subuh berjemaah seperti solat sepanjang malam.” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)
Rasulullah SAW bersabda dalam nada amaran bahawa: “Sesungguhnya solat terberat bagi orang munafik ialah Isyak dan Subuh. Andai kata mereka tahu apa yang ada dalam solat Isyak dan Subuh, pasti mereka mendatanginya meskipun dengan merangkak.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW juga bersabda: “Dua rakaat fajar (solat sunat sebelum solat Subuh) lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya.” (Hadis riwayat Muslim, dan lainnya)
Imam Nawawi dalam kitabnya Syarah Muslim menjelaskan maksud ‘dunia dan apa yang ada di dalamnya’ merujuk segala kesenangan dan kenikmatan dunia.
Pahala bagi solat berjemaah sebenarnya bermula ketika keluar menuju masjid hingga selesai solat. Seterusnya ganjaran itu berlanjutan sehingga kita tiba di rumah semula.
Ia disebabkan bekas tapak kaki dalam perjalanan ke masjid untuk bersolat berjemaah menjadi bukti tuntutan pahala di hadapan Allah kelak.
Dalil mengenai keutamaan hadir ke tempat solat dihadiri umat Islam pula terlalu banyak, contohnya firman Allah dalam surah al-Taubah ayat ke-18, maksudnya: “Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah SWT ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan sifat sedemikian) maka diharapkan mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”
Al-imam Ibn Kathir, pakar tafsir bermazhab Syafie itu membuat penjelasan menarik ayat ini. Beliau menjelaskan Allah SWT menjadi saksi mereka yang sentiasa memakmurkan masjid adalah golongan memiliki keimanan. ( Sahih Tafsir Ibn Kathir )
Mengenai keutamaan perjalanan ke masjid sebagai sebab mendapat pahala, Jabir Abdullah berkata: “Bani Salimah ingin berpindah supaya lebih hampir dengan masjid, lantas menyatakan tempat itu banyak kosong.
“Berita itu sampai kepada Nabi SAW, Baginda bersabda: Hai Bani Salimah! Tetap di rumah kalian, sesungguhnya dicatat bekas perjalanan kalian (ke masjid).
“Mereka berkata: Tidaklah menyenangkan bagi kami, kalau kami berpindah.” (Hadis riwayat Muslim)
Kesimpulannya, saudara dituntut mengerjakan solat secara berjemaah di surau atau masjid dalam kawasan saudara dan itulah yang dimaksudkan berjemaah bagi lelaki mukalaf.
Namun, tidak menjadi kesalahan untuk berjemaah bersama keluarga, isteri dan anak sekali-sekala bagi tujuan memberikan pendidikan atau apabila menghadapi masalah ke surau disebabkan hujan, ribut atau kehadiran tetamu atau kerana keuzuran dibenarkan syarak yang lain. Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment