Blog ini mengambarkan keluarga Arrie. Berita semasa tentang perkembangan ahli keluarga. Kejayaan, kenangan pahit manis akan dinukilkan disini...

online

URL tambah duit

Showing posts with label Kisah Hidup Abah. Show all posts
Showing posts with label Kisah Hidup Abah. Show all posts

Wednesday, October 5, 2011

Perubahan hidup sentiasa berlaku


Pengalaman hidup hampir mencecah 40 tahun mengajar aku untuk lebih berhati-hati dalam membuat perubahan dalam hidup. Mengimbau kembali perubahan pertama dan begitu ketara ialah apabila memasuki sekolah asrama.

Katil asrama sekadar hiasan

Kisah ni berlaku di awal 80-an, seorang kanak-kanak diusia 11 tahun berpindah dari sekolah kampung ke pekan dan menetap di asrama. Sebelum ini ada orang yang perhatikan kita, makan minum, pakai dan sebagainya. Kini semuanya terpaksa dibuat sendiri. Dari membasuh baju, menyiapkan tempat tidur berkemas hinggalah kepada belajar semuanya sendiri. Kisah tinggal di asrama ada aku ceritakan di sini: Kisah Asrama

Bagi kanak-kanak yang manja adalah suatu yang mustahil berseorangan dan tinggal berjauhan dari sanak saudara. Tapi, aku tidak begitu. Aku berjaya harungi segala kesusahan dan kesulitan dalam menempuh perubahan hidup yang pastinya membawa lebih kebaikan. Sistem pembelajaran lebih teratur. Kawan-kawan dari mereka yang terpelajar pastinya mendorong aku untuk lebih maju dan berjaya dalam peperiksaan.

Seterusnya berlaku lagi perubahan bila aku ditawarkan ke IPTA selepas SPM. Aku berjaya mengikuti kursus pengajian AAD (American Associate Degree) di UITM, S Alam. Kisah pengajian di UITM ada aku ceritakan dalam artikel terdahulu : Kisah Belajar di ITMPerubahan ketara ialah sebelum itu, 11 tahun bersekolah dengan memakai unifom tapi kini pakaian bebas. Pastinya perubahan yang ketara dirasai. Rasa sedikit bongkak juga ada kerana tidak lagi bergelar budak sekolah.

Malangnya, rezki tidak menyebelahi aku. Belum masanya untuk aku melanjutkan pelajaran ke USA. Aku gagal dan kembali ke kampung bekerja semula dengan Pak Nayan. Rasa putus asa menguasai tetapi mujurlah ada saudara terdekat yang menasihati. Sekali lagi berlaku perubahan mendadak di mana aku terpaksa kembali ke sekolah. Kisah tingkatan 6

Bayangkan jika sebelum ini bergelar budak U, kini kembali menjadi budak sekolah. Mana nak letak muka. Kerana tidak sanggup berdepan dengan soalan dari kawan-kawan aku rahsiakan kisah UITM dari sesiapapun. Tiada seorang pun yang tahu aku pernah dibuang UITM. Pastinya perubahan yang sukar dari bebas berpakaian hinggalah semua urusan mengikut jaudal. Masa belajar, bermain hinggalah waktu tidur semua mengikut jadual waktu asrama.

Perubahan ini juga berjaya aku tempuh hingga lulus STPM dan dapat menjejaki UM. Kehidupan di UM tiada beza sangat jika dibandingkan dengan UITM. Keduanya IPTA. Perubahan seterusnya adalah bila memasuki alam pekerjaan.
Bekerja dan belajar begitu berbeza dari segi tekanan emosi, fizikal dan mental. Belajar tidak perlu berfikir tentang sara hidup tetapi tertekan dengan keputusan jika tidak mendapat keputusan cemerlang. Pendapatan tiada tetapi cukuplah dari biasiswa sebagai sumber tambahan juga sumbangan dari saudara (kakak-kakak dan abang-abang).

Bekerja mendapat hasil pendapatan tetapi tekanan setaraf dengan gaji yang kita perolehi. Gaji pertama dari bekerja sebagai Jurutera Kawalan Mutu (QC Engineer) di sebuah kilang swasta masih terbayang-bayang lagi. Itulah kali pertama akaun aku mempunyai lebih 4 angka secara tetap tiap bulan.

Perubahan itu pastinya seiring dengan pengalaman bekerja. Makin lama bekerja makin tinggi pendapatannya. Bagi mendapat tawaran yang cepat dalam kenaikan gaji di sektor swasta adalah dengan berpindah tempat kerja. Petua ni dapat dari senior masa di Universiti dulu.

Memang benar, bila kita telah berpengalaman mudah untuk mencari kerja baru dan menetapkan gaji yang diharapkan dari majikan baru. Walaupun nampak mudah berpindah tempat kerja tetapi hakikatnya perubahan tetap terasa dan kita mesti menghadapinya. Perubahan menyesuaikan diri dengan suasana baru dan kawan-kawan baru tidak dapat dielakkan.Bila dah bekerjaya pastinya kita hendak berumahtangga. Begitu juga aku. Aku bersyukur kerana ditemukan jodoh dengan seorang isteri yang pernah bekerja disektor swasta. Beliau memahami kerjaya aku sebagai QA Engineer di mana masa bekerja tidak menentu. Kadang-kadang malam juga terpaksa ke tempat kerja atas panggilan yang Urgent.

Jika bujang ini bukanlah suatu masalah malah boleh untuk bermalam (over night) di tempat kerja tetapi kini keluarga perlu diutamakan. Perubahan bila bekerluarga dalam membahagikan antara tanggungjawab kerja dan keluarga perlu seiring.

Tambahan pula bila mendapat Arrie (anak pertama), aku jadi agak tertekan pada mulanya. Perubahan hidup dari berdua kepada bertiga perlu persediaan rapi. Al-hamdulillah dapat aku tempuh semuanya walaupun pada mulanya sedikit tertekan dengan Arrie yang tak henti-henti menangis.

Setelah 15 tahun makan gaji, kini tiba perubahan untuk berniaga sendiri. Persoalannya adakah aku telah bersedia? Dari perkiraan sumber pendapatan baru (berkebun dan berniaga) aku yakin bahawa rezeki itu ada di mana-mana. Jika dimurahkan rezeki pendapatan dari hasil berniaga mungkin dapat menyaingi pendapatan sekarang. Perubahan ini pastinya suatu yang mencabar kerana berpindah dari berpendapatan tetap kepada pendapatan harian. Lebih usaha lebihlah hasilnya.
Semoga pengalaman hidup lalu dan cabaran yang pernah ditempuhi dapat memantapkan lagi iltizam dan nekad untuk membawa perubahan yang lebih positif. Di mana ada usaha di situ ada jalannya. Insya-Allah....

Tuesday, September 27, 2011

Pengalaman berniaga


Agak lama aku tidak menulis berkenaan kisah hidup dan pengalaman lalu. Kali ni aku nak mengimbau kembali kisah 21 tahun lepas iaitu di awal tahun 1990. Masa tu baru habis SPM dan tengah menunggu result. Kisah berkenaan berniaga ni pernah aku ceritakan dalam artikel terdahulu : Kisah lepas SPM

Kisah kali ni pula lanjutan dari kisah tersebut tetapi aku akan mengkhususkan cerita berkenaan perniagaan. Aku dilahirkan dari keluarga pesawah dan petani. Tiada seorang pun yang berpengalaman berniaga. Cuma aku pernah menjual jagung rebus, buah jambu kepada kawan-kawan sekelas. Bukan layak sebagai peniaga tetapi sekadar jual untuk tambah pendapatan. Ada kuceritakan dalam artikel ni : Kisah sekolah rendah

Hampir 7 bulan bersama Pak Nayan dalam berniaga. Bermula dari menjaga kedai kopi hinggalah kepada mengurus kedai buah. Pak Nayan bukannya saudara pun tetapi beliau lah majikan pertama yang memberi tunjuk ajar selok belok berniaga.

Pengalaman pertama yang diajar oleh Pak Nayan ialah kita tidak boleh malu. Berniaga bukanlah satu kerja hina. Kita memberi khidmat kepada orang ramai, oleh itu kita patut merasa bangga berniaga. Pak Nayan ajar aku menghadapi pelanggan.

Masih teringat lagi pelanggan pertama - masa tu kerja di kedai kopi, Pak Nayan suruh aku tanya 'Nak minum apa ?' 2 minggu pertama aku hanya bekerja di belakang tabir tolong sediakan air batu. Ais terpaksa dipecahkan secara manual. Zaman tersebut belum ada kiub ais jadi aku jadi tukang ketuk ais.

'Nak minum apa makcik ?' , tak dapat dibayangkan betapa malunya untuk bertanya orang yang kita tak kenal. Aku gagahi juga dan dapat ambil order. Kerana masih tidak biasa, aku bawa order ke dapor dan bagitahu Yin - tukang buat air. Ujian pertama berjaya cumanya aku gagal untuk berteriak/tempik 'teh ais 2'. Ini kaedah biasa yang digunakan bila ambil order supaya lebih cepat dan effisian.

Seterusnya aku diajar supaya menyusun atur air kotak, air botol dan air tin secara teratur di dalam peti ais. Ianya hendaklah sentiasa penuh dan selalu diisi semula bila kurang. 'Orang seronok tengok, baru kedai kita lebih laku' nasihat pak Nayan. Ada logiknya nasihat ni kerana dari segi psykologi pelanggan akan suka keadaan teratur dan kemas. Oleh itu mereka akan selalu datang ke kedai kita dan lebih banyak jualan kita.

Kena manis mulut. Itu pesan Pak Nayan lagi. Walaupun sibuk mana sekalipun jangan lupa senyum. Ucap terima kasih kepada pelanggan. Bagi diskaun sedikit bagi mencukupkan nilai ringgit. Contohnya barang berharga RM9.10. Kurangkan 10 sen dan katakan ' Saya potong 10 sen'. Pengalaman ni diperolehi semasa jaga kedai buah. Pak Nayan memang pandai tarik pelanggan dan setiap yang datang akan ulang datang lagi.

Jaga kedai buah dalam 3 bulan. Bermula dari hanya menjual tembikai hingga kepada semua jenis buah-buahan termasuk jeruk-jeruk buah. Kedai cuma ukuran 10'X15' sahaja. Ramai yang tak percaya boleh kah kedai sekecil tu kekal bertahan. Walaupun lokasi agak strategik dekat simpang tetapi pada permulaan agak sukar sebab orang belum kenal kita.

Setelah sebulan beroperasi kedai tersebut dapat jualan mencecah RM300 sehari. Suatu yang aku juga tidak percaya. Pak Nayan begitu percaya kejujuran aku bekerja dan dia izin aku bawa balik hasil jualan. Dari situ aku tahu jumlah jualan harian. Memang menakjubkan kerana dari satu jenis produk hingga penuh diisi kedai tersebut.

Pak Nayan juga mengajar aku cara-cara mengatur pusingan modal. Jualan hari ini hendaklah disimpan sedikit dalam 30% untuk pusingan modal seterusnya. Kalau dapat RM300, bolehlah RM200 guna untuk tambah barang kedai juga kos berniaga (bil, gaji dll..) dan selebihnya untuk modal pusingan akan datang. Dengan ni kedai akan sentiasa berdaya maju dan mampu membuat penambahbaikan jika perlu.Ilmu berniaga ni walaupun tiada kursus formal seperti teori ekonomi yang diajar di Universiti tetapi cukup meyakinkan aku bahawa berniaga mempunyai potensi yang luas untuk terus maju. 'Berniaga mestilah seiring dengan beramal'. Itu pesan Pak Nayan. Bagi diskaun dengan niat bersedekah dan sama-sama berkongsi keuntungan.

Berbekalkan sedikit pengalaman berniaga ini, aku yakin bahawa pintu rezeki terbuka luas dalam bidang ini. Semoga hasrat arriesfamily untuk menukar kerjaya ke era perniagaan direstui-Nya.

Friday, September 23, 2011

Kampung Bendang Raja


Entah kenapa, tiba-tiba teringat Kampung Bendang Raja. Kampung yang dah lama ditinggalkan sejak aku merantau jauh. Hanya balik setahun sekali dua sempena musim perayaan atau majlis kenduri kendara.

Mercu tanda kampungku - Tengkolok tanda melayu asli

Papan tanda terpamir di batu hasil ciptaan warta kampung.
Pemandangan damai sawah padi di kampung.


Rumah kampung warisan tinggalan sejarah - kini menjadi muzium mini menarik pelancung.

Walaupun kampungku terletak di ceruk pedalaman tetapi tidak lekang dari era pembangunan. ICT menjadi saluran maklumat utama. Parabola berhubung terus dengan Satelit MEASAT membolehkan jaringan jalurlebar (Internet) percuma untuk warga kampung.


Sebahagian trofi dan piala - anugerah kecemerlangan warga kampung.

Jalan menghubungkan penduduk kampung ke Pekan Kuala Nerang

Satu lagi pemandangan sawah padi berlatar belakang bukit bukau.

Kehijauan pemandangan memang mengasyikkan. Rasanya tidak sabar untuk kembali ke sana...

Friday, March 25, 2011

Result SPM dah keluar



Keputusan SPM 2010 telah diumumkan. Seramai 9,239 calon berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+,A dan A-) dalam semua mata pelajaran dan Seramai 363 calon berjaya mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki (Sumber Bernama).

Begitu ramai anak-anak muda kita yang berjaya dengan cemerlang. Teringat ketika menunggu keputusan periksa tahun 1990 dulu. Dulu pelajar paling takut ambil keputusan kerana khuatir banyak yang gagal. Soalan yang biasa ditanya lulus tak ? Berbanding dengan masa kini berapa A ?.

Lebih kurang dalam bulan April 1990, keputusan telah keluar. Disebabkan Sekolah Menengah aku jauh dari rumah iaitu di Perlis, bapak menawarkan khidmat pengangkutan. Pada tahun tu cuma ada motor Honda Cub - Jenis C90 rasanya dah tak ingat.

Walaupun membonceng motor tidak se-gah naik kereta tapi bersyukur kerana masih mempunyai kenderaan. Kagum juga dengan bapak walaupun sudah di usia pencen (50++) masih mampu menunggang motorsikal dan membawa aku. Mungkin kerana dia juga tidak sabar hendak tahu apa keputusan periksa aku.

Perjalanan dari kampung di Kuala Nerang ke Kangar, Perlis memakan masa hampir 1 jam. Boleh dibayangkan betapa kematunya punggung pada waktu tu. Bila terfikir anak-anak generasi kini, mereka senang kerana ibubapa semua telah mempunyai dan mampu memiliki kereta.

Aku pergi pada hari ke-dua kerana tidak dapat pada hari pertama keputusan keluar. Sesampinya di Sekolah, kelihatannya agak lengang. Kelibat kawan-kawan tidak berapa kelihatan cuma seorang dua sahaja. Aku terus ke pejabat kerana keputusan ditampal di papan kenyataan bersebelahan pejabat.

Dengan penuh berdebar-debar aku perhatikan senarai pelajar dan keputusan aku. Nama aku ada dalam senarai pelajar 5S1. Nama di susun mengikut turutan, Abdul Syakur - 9 Aggregate , Khidir - 8 Aggregate , Mohamad Khir - 10 Aggregate. Debaran semakin kencang setelah huruf M. Mohamad Suhaimi - 11 Aggregate.

Aku agak sedikit kecewa kerana keputusan agak sedikit tersasar dari target. Sasaran dan azam untuk mendapat di bawah 10 Aggregate. Keputusam SPM dulu-dulu tidak mengikut jumlah A tetapi berdasarkan Aggregate.

Keputusan terbaik ialah semua A1. Keputusan hanya diambil kira dari 6 mata pelajaran terbaik dan dikira jumlah aggregate. Jadi result terbaik adalah 6 Aggregate (1 + 1 + 1 + 1 + 1 + 1) dan seterusnya. 11 aggregate bermakna aku hanya dapat terbaik 3 A1, 1 A2 dan 2 C3. Jumlah = 1 + 1 + 1 + 2 + 3 + 3 = 11.

Jika ditukar kepada gred masa kini dan andaikan A+ = A1, A=A2, C3 = A- , C4 = B dan seterusnya. Mungkin aku dapat 3A+, 1A dan 3A- dan 1C agaknya. C pastinya bahasa Inggeris. Jika nak bandingkan dengan keputusan 2010 memang keputusan aku jauh ketinggalan. 9000 lebih pelajar tahun lepas dapat semua A.

Aku begitu kecewa bila bila melihat mata pelajaran Matematik kerana inilah subjek kegemaran. Aku hanya dapat A1 dalam Matematik moden tetapi A2 dalam Metematik tambahan. Memang kecewa kerana target pastinya A1 kedua-dua matematik ini.

Berbalik kepada cerita bersama bapak tadi. Aku turun dari pejabat setelah ambil slip keputusan dan bagitau semua lulus. Ada juga dapat A. Bapak kelihatan gembira kerana seorang lagi dari anaknya yang berjaya. Berita gembira ini pastinya akan jadi bualan bapak bila bertemu jiran-jiran dan rakan-rakan. 'Mie pass SPM dapat sambung ngaji lagi' begitu lah agaknya jawapan bapak setiap kali ditanya.

IPTA sekarang semakin banyak pilihan

Keputusan SPM ni memang melayakkan aku sambung belajar ke IPTA dan diterima masuk dengan mudah kerana pada masa itu tidak ramai yang berjaya. Untuk mencari keputusan semua A mungkin 1 sekolah hanya seorang itu pun sekolah Sains. Sekolah aku juga hanya 2 orang yang dapat berbanding dengan pada masa kini SMSTSP - sekolah aku tu dapat 60% semua A.

Apa-pun aku bersyukur kerana dapat meneruskan pengajian dan berkerjaya seperti sekarang ni. Untuk anak-anak, abah akan pastikan semua berjaya dan yang paling penting dapat belajar sejauh yang mungkin. Lepas SPM sambung lagi ambil Diploma atau terus matrikulasi. Atau apapun kursus yang sesuai. Lepas Degre sambung lagi Master, PHD dan sebagainya. Kemampuan anak-anak terus belajar itu yang lebih utama bukannya banyak A semata-mata.

Monday, March 21, 2011

Perlis Darul Sunnah


Dalam dok baca malaysiakini.com terjumpa satu artikel berkenaan akad nikah di Masjid. Teringat masa belajar dulu di Sekolah menengah Tuanku Syed Putra, di Kangar Perlis. Terlalu banyak perkara yang berbeza dari segi amalan keagamaan berbanding negeri lain.

Petikan dari laporan tersebut :
Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh.
Beliau berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.

Laporan penuh:
http://www.malaysiakini.com/news/159169

Perlis memang terkenal dengan kaum Muda yang berpegang teguh dan mengikuti Sunnah Rasul dalam amalan harian. Perlis juga menjadi kontroversi dengan fatwa yang agak berlainan dari negeri-negeri lain. Sebab tu ada yang menggelar Perlis Darul Sunnah. Tapi artikel ni bukan bertujuan mengulas berkenaan akad nikah tadi cuma sekadar mengimbau kenangan ketika berada di Perlis sekita tahun 80-an dulu.

Dulu masa kali pertama solat Jumaat agak terperanjat, azan hanya dilaungkan 1 kali. Tidak 2 kali sebagaimana biasa di negeri-negeri lain. Habis solat semua balik tanpa berwirid beramai-ramai dan berdoa. Rasa pelik pun ada. Ada yang bertanya ustaz kenapa berlainan. Jawab ustaz itu hanya masalah khilafiah dan tak perlu diperbesarkan.
Pernah menuntut di SMTSP selama 5 tahun

Pada masa tu, sebagai remaja mestilah suka sebab cepat balik dari masjid dan tak payah nak tanya kenapa berbeza. Tapi kini sejak mengenali Manhaj Salafi baru memahami kenapa adanya perbezaan pendapat ataupun khilaf ini.

Perlis mengambil pendekatan tersebut berdasarkan hujah dan dalil yang lebih mendekati Sunnah Nabi SAW. Kita sebagai orang awam memang merasa agak pelik tetapi mereka berhujah berdasarkan ilmu yang ada dan ijtihat mereka. Beruntunglah mereka yang menetap di Perlis kerana majlis agama Islam dan majlis fatwa mereka mengambil langkah yang lebih kepada Sunnah.

Thursday, March 17, 2011

Suka duka 'Campus Life'


Atas permintaan seorang kawan masa di kolej ke-3 dulu, aku akan cerita bab kehidupan kampus. Beliau ada bertanya kenapa cerita 'kisah hidup abah' berhenti setakat sekolah sahaja. Jadi sekarang nak imbau balik cerita kat IPTA dulu....Lepas dapat result SPTM, agak sedikit kecewa kerana sekadar lulus tidak berapa cemerlang sekadar 1B sahaja dalam subjek Matematik. Sasaran sebenar untuk A tapi tak ada rezki. Mohon IPTA melalui borang UPU dan pilihan pertama UKM diikuti USM dan pilihan terakhir UM. Sempat juga bekerja dalam 3 bulan di kedai kopi Pak Nayan sebelum mendapat tawaran sambung IPTA. Dapat la kumpul sikit duit poket.

Agak terkejut kerana tawaran dari UM sahaja yang dapat untuk kursus Sarjana Muda Sains aliran Matematik (Statistik). Aku terima sebab tu la saja pilihan yang ada. Dalam asyik membelek-belek surat tawaran tu pastinya ada bahagian yuran yang kena bayar dalam lingkungan RM1600. Mana nak cari duit sebanyak tu.

Kalau dulu ada arwah mak mungkin budget ke Universiti dah ada dan tak perlu fikir nak bayar macam mana. Arwah mak memang seorang yang berpandangan jauh. Bapa pada masa tu mungkin ada komitmen lain nak lebih keutamaan. Mujurlah ada kakak yang membantu. Kak Jah hulur RM1000, Kak Nab RM500 dan Kak Yam RM500. Tak terbalas jasa kakak semua membantu adikmu ni dalam melanjutkan pelajaran. Hanya Allah yang dapat membalas jasa kakak semua. Dalam komitmen keluarga masing-masing masih mampu memberi sumbangan yang tak terhingga nilainya.

Yuran dah selesai, tapi siapa nak hantarkan. Satu lagi persoalan yang bermain di fikiran. Biasanya hari pendaftaran ahli keluarga akan hantarkan kita sambil tolong bawa beg kain baju semua. Itu fenomena biasa. Setelah berbincang dengan ahli keluarga, semua tak dapat mengiringi aku. Rasa sedikit terkilan kerana terpaksa pergi sendiri. Aku tak salahkan kakak kerana mereka semua bekerja dan sukar mendapatkan cuti dan merancang perjalanan tetapi aku agak hairan kerana orang kampung juga agak sibuk pada masa tu.

Mungkin bapak ada urusan yang perlu diberi keutamaan dan juga komitmen yang tinggi pada masa tu. Mungkin juga taraf kesihatannya tak mengizinkan. Tak apa lah.. aku bukan tidak biasa pergi sendiri. Dulu masa di UITM memang balik sendiri dengan bas. Jadi aku ambik keputusan naik bas sahaja. Tapi tetap kena fikir siapa nak bawa ke UM.

Mujur ada kawan sekolah lama (SMTSP) yang tengah belajar di Hospital UM. Aku hubungi Dollah untuk menunggu di Pudu Raya. Bertolak dari Alor Star sebelah malam dan sampai awal pagi. Dollah memang seorang kawan yang baik, dia sanggup ambil aku se-awal 3 pagi dan bawa ke rumah sewanya. Agak sukar mendapat kawan sejati macam Dollah.Masih teringat lagi, sesampainya di Hentian Pudu Raya aku agak sedikit panik kerana terlalu dinihari. Tapi Dollah telah pesan jangan ke mana-mana dan telefon dan dia akan datang ambil. 20 minit selepas telefon Dollah sampai, rupanya dia memang tunggu aku malam tu. Begitu tingginya nilai persahabatan dengan Dollah ni. Tak sia-sia aku berkawan dengannya sejak sekolah rendah. Dengan Honda cub nya dia bawa aku ke Petaling Jaya.

Sempat berehat sekejap sebelum mendaftar jam 8.00 pagi. Sekali lagi Dollah menjadi satu-satu waris tidak rasmi aku menghantarku untuk mendaftar. Orang lain dengan kereta ibu bapa atau saudara masing-masing tapi aku hanya dengan Honda Dollah sahaja. Seawal jam 8.00 kami bertolak dan sampai ke kolej ke-3. Sampai di pintu masuk kolej kami ditahan Jaga universiti.
Gambar sekadar hiasan

Muka 'pak guard' agak serius katanya " tak boleh masuk, pendaftaran Freshee". Terkejut aku dan Dollah. Rupanya pak guard tadi nampak stiker UM kat motor Dollah dan disangkanya kami pelajar senior. Aku terangkan yang memang nak gi daftar la, takkan takleh naik motor.dan tunjuk beg besar yang kami bawa. Baru dapat masuk. Motor kena parking tepi dulu....

Sambungan.......cerita Kolej Tuanku Khursiah

Untuk Arrie, Iffa dan Ammar
- Beruntung anak2 semua kerana masa nak ke Sekolah Abah hantar dan masa balik mama ambik. Tidak semua budak2 menikmatinya.

Insya-Allah jika umur panjang, abah akan pastikan anak2 abah semua diarak ke Menara Gading.
Yuran telah abah bayar sejak Arrie & Iffa setahun melalui Child education plan.

Tuesday, March 8, 2011

Kisah Tingkatan 6


Agak terlalu lama tak cerita, kisah hidup abah. Mungkin banyak memori dah makin hilang. Maklumlah RAM cuma 512 GB - Dah tua. Tapi untuk panduan dan pedoman arriesfamily, abah sambung semula cerita sekolah dulu2....
Setelah gagal melepasi KPP seperti dalam cerita terdahulu (http://arriesfamily.blogspot.com/2009/10/kegagalan-asam-garam-hidup.html), aku balik kampung buat seketika. Masa tu pada tahun 1991. Lebih kurang 2 minggu di kampung hati mula resah. Cukuplah sekadar mengatakan kurang selesa menetap di sana. Aku ambil keputusan keluar semula dari kampung dan bekerja kembali di kedai kopi Pak Nayan. Kisah kerja ni pernah disiarkan dalam artikel terdahulu (http://arriesfamily.blogspot.com/2009/10/pengalaman-kerja-selepas-spm.html)

Aku seperti tiada pedoman, setelah gagal dan ditendang keluar dari KPP, UITM terasa begitu kecewa. Malas nak terus belajar dan telah putus asa. Nasib baik ada kakak yang begitu mengambil berat pada masa tu.

Kak Jah datang ke tempat aku bekerja. Kami berbincang. Katanya dia sedih tengok aku kerja kedai kopi macam tiada masa depan. Aku masih muda dan sewajarnya aku terus belajar. Aku agak buntu tetapi atas dorongannya aku bersetuju memeruskan pembelajaran dan ambil STPM. Terima kasih tak terhingga kepada Kak Jah kerana menasihati adikmu ini dan begitu juga kepada Arwah Abang Zain kerana berusaha mendapatkan tempat sekolah tingkatan 6.

Sekolah menjadi pilihan adalah Sekolah Men Ibrahim (SMI). Sekolah yang bagus di Sungai Petani , Kedah dan aku layak sambung beljar di situ. Aku lah satu-satunya pelajar melayu aliran Sains yang mengambil mata pelajaran double math. Maksudnya hanya aku seorang yang belajar dalam kelas tu yang berkulit sawo matang yang lainnya semua putih melepak (Cina).

Agak sukar bergaul dengan mereka kerana semua cakap Hokkien dan English. Aku gagahi juga kerana tak mahu kecewakan Kak Jah yang bersusah payah membayar semua yuran2 persekolahan dan bagi duit poket.

Tingkatan 6 atas aku menetap di asrama. Banyak juga kenangan di sana tapi yang paling ketara suasana asrama sekolah biasa dengan sekolah asrama penuh (SBP) amat berbeza. Kemudahan juga berbeza. Pastinya SBP lebih banyak kemudahannya.

Disiplin pelajar juga jauh berbeza. Asrama di SMI umpama tempat persinggahan. Boleh keluar dan masuk sesuka hati. Walaupun ada undang2 tidak membenarkan pelajar 'lompat pagar' tapi seolah-olah tiada sekatan. Lubang pagar ada di mana-mana. Aku tidak terkecuali menjadi sebahagian budak nakal walaupun berada di tahun 6 atas. Tahun menghadapi peperiksaan besar -STPM. Masih teringat lagi, satu malam keluar bersama Bakri dan ditangkap Warden Asrama. Hukuman - Rotan. Sakit tidur malam tu tapi terima kasih kepada Cikgu yang mengambil tindakan tersebut kerana jika tidak, mungkin aku tak jadi seperti sekarang ni.

Di asrama aku agak rapat dengan beberapa orang pelajar lain kebanyakan dari Kuala Muda, Kedah. Nama seperti Bakri, Naim, Anuar masih segar dalam ingatan. Aku pernah bermalam di rumah mereka jika pulang hujung minggu. Agak hairan aku lebih senang habiskan hujung minggu di rumah kawan dari balik kampung. Mungkin sebab jauh agaknya...
Malangnya kini semua mereka telah terputus hubungan.

STPM berjaya aku tempuhi walaupun belajar keseorangan tanpa seorang pun kawan Melayu yang sealiran. Kawan lain semua aliran sastera-ekonomi dan sains hayat. Keputusan STPM agak hambar. Aku cuma mendapat 1B, 1C dan 3R tapi syukur melayakkan aku menyambung pelajaran ke IPTA.
Kepada Arrie, Iffa, Ammar, Dina & Syira - Semoga anak-anak abah semuanya dapat belajar dengan lebih baik berbanding abah. Tumpukan masa belajar terhadap pelajaran dan lupakan keseronokan jiwa remaja buat seketika. Ingat, manfaatkan masa belajar sebaiknya kerana apa yang anak2 usahakan adalah untuk kebaikan diri sendiri juga, sekali gagal bukan beerti selamanya gagal.........

Bersambung....

Sunday, October 25, 2009

Pergaulan Adik beradik


Kali ni nak cerita tentang pergaulan adik beradik.

Rupa penulis (abah) dalam tahun 1983

Aku dulu masa kecik-kecik boleh di kategori budak-budak 'ketegaq' kata orang Kedah. Ketegaq ni lebih kurang keras kepala ler. Nak ikut kepala sendiri aja. Aku lebih kepada 'loan ranjer'. Apa-apa hal buat kerja sendiri. Jadinya hubungan dengan adik beradik mesra tapi tak rapat sangat.

Dengan Bacat (abang) selalu gaduh. Aku pulak jenis takleh kalah terutama bila main apa-apa permainan sekalipun.

Bacat memang abang yang baik selalu mengalah tapi kadang-kadang dia buat nakal tak mau mengalah misalnya bila main badminton mestilah dia yang akan menang sebab fizikalnya lebih besar.

Bila kalah aku akan mengamuk, rosakkan riket dan sebagainya. Bila fikir balik sifat tu memang buruk, baran tak kena tempatnya.

Hubungan dengan kakak pula agak jauh mungkin sebab faktur usia. Perbezaan usia yang agak ketara antara aku dengan kakak-kakak menyebabkan pergaulan agak terhad. Umpamanya perbezaan usia Kak Blaqis (sulung) denganku 20 tahun lebih seusia dengan mertuaku.

Walaupun tidak begitu rapat tetapi arwah mak mengajar anak-anaknya menghormati antara satu sama lain. Tidak pernah ada sebutan 'aku' sebagai gantidiri dalam keluarga. Panggilan nama sendiri dengan sebutan yang manja. Umpamanya Bacat & Kak Yam menyebut 'chek', Kak Nab sebut 'che' , Kak Jah menyebut 'kami' , penulis sendiri membahasakan 'mie'.

Panggilan nama mesti menyebut berdasarkan pangkat misalnya 'Kak', Abg, Pakcik, Paklong dan sebagainya. Tidak pernah berlaku panggilan atas nama sahaja. Umpamanya usia aku dengan anak saudara Wahiba sebaya tetapi tetap kena panggil paksu.

Disebabkan di usia masih kecil telah mula diajar panggilan paksu jadinya Wahiba hanya mampu sebut cu dan ditambah namaku jadi 'CUMI'. Nama ni lekat sampai sekarang setiap kali bertemu Wahiba.

Bila lahir lagi seorang adik (Dik Die), panggilan cumi aku tukar kepada 'pakcik', sebab tu anak saudara selepas itu dari Naim & Bad mula paggil pakcikmei.

Ibu bapa kini tidak berapa menitik beratkan panggilan menurut pangkat. Walaupun ianya tak seberapa tetapi menghilangkan status penghormatan terhadap bapa saudara.

Sebab tu dalam keluargaku kini, adalah menjadi kemestian adik memanggil abang atau kakak untuk yang lebih tua bagi mewujudkan rasa ikatan kekelurgaan yang erat sesama mereka. Sebolehnya bapa saudara atau ibu saudara dipanggil pakcik dan sebaganya...

Tuesday, October 20, 2009

Permainan budak dulu-dulu


Raya baru ni, anak-anak minta beli PS2 guna duit raya mereka. Teringat aku kecik-kecik dulu tak berpeluang nak main permainan mewah macam tu. Di era 80's kebanyakan permainan seperti yang nak aku ceritakan ni....

Seperti yang telah aku ceritakan dalam artikel sebelum ni , permainan orang dulu-dulu tak perlu keluarkan modal. Semunya gunakan bahan-bahan semulajadi. Jenis permainan terbahagi kepada 3 kategori. Lelaki sahaja, Perempuan sahaja atau pun campur lelaki-perempuan.

Kita mulakan dengan permainan budak lelaki dulu. Semuanya jenis-jenis yang agak lasak dan agak sedikit merbahaya. Permainan paling popular tentunya combat sebab awal 80-an terkenal dengan siri TV - Combat. Setiap budak lelaki mesti mempunyai se-laras senapang. Aku juga tak terkecuali.



Bawah ni, gambaran rupa rifel tersebut...







Peluru menggunakan buah tapak kuda - sejenis buah terung kecil yang tumbuh meliar di kampung. Peluru dilekatkan pada pemetik, getah ditarik ke peluru dan siap untuk berperang. Bila pemetik titekan peluru akan meluncur laju dan mengenai sasaran.

Sakitnya.....boleh tahan sehingga menjerit 'adoi' bagi mangsa yang dah kena dan dikira mati.

Atas sokongan bapak, aku mempunyai selaras rifel yang agak cantik buatannya. Peluru kena cari sendiri. Sebelum memulakan pertandingan pastinya undian akan dibuat bagi setiap pasukan. Setiap permainan biasanya paling kurang 3 sepasukan. Bernasib baik dapat team member yang kuat-kuat rasa selamat sikit.

Konsep permainan mudah, satu pasukan komunis dan satu lagi askar. Komunis akan bersembunyi dan askar mengejar. Tiada had peluru, bergantung kepada kecekapan mengendali senapang. Pasukan yang kematian semua ahli dikira kalah. Kadang kala berlaku perbalahan sebab yang kena tembak tak mengaku kena terutama bila jarak agak jauh sikit. Penylesaian mudah tembak pada jarak dekat (2 ~ 3 meter) pastinya mudah kenal pasti kena atau tidak.
Jika terdengar jeritan 'ADOI....'. Sah dah kena la tu.

Permainan ni semakin lupus di pertengahan 80-an. Mungkin sebab wujudnya permainan moden seperti bola, badminton, Carrom dan sebagainya.

Selain tu, aku dulu suka main gasing. Bagi peringkat kanak-kanak kecil, mamadai gasing dibuat dari buah pinang dan dimasukkan paku ke dalamnya. Bagi yang lebih besar sikit pastinya gasing pangkah. Yang pandai bertukang boleh buat sendiri. Aku pernah cuba tapi agak susah sebab nak 'balancing' paku agak mencabar. Cara senang beli aje. Bila tiba musim gasing - mudah terdapat di kedai-kedai runcit. Nak lebih cantik boleh upah Pak Man 'Tok Put' - seorang jiran di kampung yang pandai buat gasing. Harga 50 sen sebiji - agak mahal pada masa tu. Jadi aku beli dari kedai aje..

Pernah juga bapak buatkan sebiji dua untuk aku ngan Bacat (abangku). Konsep permanan mudah. Tiada had peserta. Minimum 3 orang. Buat satu bulatan dalam diameter 2 kaki. Mula dengan setiap pemain melontar (pukul) dalam bulatan serentak dan cepat-cepat manarik naik gasing menggunakan tali tadi dan disebut 'JIP'.

Pemain paling lambat akan jadi mangsa untuk diletakkan dalam bulatan tadi. Pemain lain akan memangkah gasing dalam bulatan tersebut. Agak merbahaya kerana boleh terkena sesama sendiri bila lontaran tak menentu perginya.
Permainan lain 'Caplong' - Bunyi pun agak aneh tetapi menarik jika dimainkan secara berkumpulan. Sama konspenya sepeti main 'combat' senapang tadi. Caplong dibuat dari buluh dan di isi peluru dari buah cenderai. Menggunakan konsep tekanan, buah cenderai tadi akan menjadi peluru dan di tembak ke pihak lawan.

Kesimpulannya permainan budak dulu-dulu semuanya hasil dari kreativiti masing-masing dan tidak memerlukan modal yang banyak.

Thursday, October 8, 2009

Cerita Air Kelapa


Cerita ni, kawan dapat dari abang-abang dan juga orang tua dulu-dulu di zaman awal tahun 80-an. Sejauh mana kebenarannya, wallahualam...

Dulu Kuala Lumpur agak asing bagi penduduk kampung. Sebabnya tiada kemudahan lebuhraya seperti sekarang. Perjalanan ke KL mengambil masa yang lama jadinya terlalu sukar ke sana kecuali melalui rombongan.

Oang kampung akan uruskan satu rombongan untuk melawat KL dan disertai oleh mereka yang berminat. Mereka yang turut serta termasukkan orang tua-tua yang tidak pernah menggambarkan keadaan Kuala Lumpur itu sendiri.

Salah seorangnya adalah Pak Long Hen (Bukan nama sebenar). Perjalanan yang lama pasti memenatkan dan meletihkan. Bila sampai sahaja di KL pastinya semua akan teruja untuk membeli belah dan sebagainya.

Oleh kerana dahaga Pak long singgah di gerai menjual air. Dilihatnya begitu segar dalam balang seperti yang dijual di pasar malam masa kini. Putih berserta ada isinya.

Tanpa berlengah lagi Paklong bertanya "Aa apa ni ?".
"Air Kelape..." jawab penjual tu.
Oleh kerana paklong tengah dahaga dia terus meminta air tersebut walaupun nama air begitu asing baginya.

Tiba-tiba paklong naik angin katanya " chuih...A.. nyor ". Dengan rasa marah paklong meninggalkan penjual tadi.

Rupanya air kelapa tiada harganya bagi orang kampung kerana ia boleh diperolehi dengan mudah. Istilah 'air kelapa' amat asing bagi warga tua kampung dan biasanya disebut 'a nyor' sahaja.

Bagi Paklong setakat nak minum 'a nyor' tak payah jauh-jauh datang ke Kuala Lumpur...

Moral dari cerita ini, pastikan anda tahu apa yang anda beli dan jangan mudah tertipu dengan nama-nama yang indah....


Wednesday, October 7, 2009

SMTSP Dalam Kenangan


Dalam membelek-belek album lama, jumpa pulak gambo member SMTSP, jadi aku upload la...

Ni dua-dua seluar ketat kenapa? Memang rock kapak..

Bergaya macam band rock je.... 80's memang camni...

Mak ai.. punyala kecik time ni.. Form 2 rasanya. Kawan kita -Merun kalau nak makan pun jgn la sampai terjuih mulut tu.. hihi..

Lagi satu gaya... rockers.. Yang ber'head phone' tu champion group ni.

Main Chess ke setakat bergaya jer....opp..Pesta catur MSSM tu..

Ni la SMTSP kebanggaan kami...agaknya tu yang difikirkan oleh group ni..

Ni pulak masa hari sukan.. yg dok bergaya kat belang tu wat pe, bukan nampak pun..

5S1 memang mat study.. tengok muka pun serius jer...

Jambatan ni macam nak roboh jer ? Agaknya tu yang kawan kita tengah fikir. Apa pun lanskap SMTSP memang cantik.

Kalau kat belakang sekolah - tempat loji tak payah lah bergaya..

SMTSP telah kami semua tinggalkan hampir 20 tahun namun banyak memori yang masih segar di ingatan...

Kegagalan Asam Garam Hidup


Sebelum ni aku pernah cerita berkenaan kerja kuat untuk berjaya menempuh kejayaan SPM. Kali ni sambungan melanjutkan pelajaran ke IPTA.

Keputusan SPM agak baik melayakkan aku memohon IPTA. Keputusan keluar ketika aku masih bekerja sambilan di Bagan, Penang. Pastinya semua calon akan mengisi borang UPU dan begitulah juga aku.

Oleh kerana di sekolah menengah ku dulu (SMTSP) ada menyediakan kelas matrikulasi USM dan aku pula selalu juga berbincang dengan abg2 dan kakak matrik tu maka aku pun memilih USM sebagai pilihan utama.

Pilihan matrikulasi agak mudah dan aku layak untuk memilih mana-mana university memandangkan keputusan SPM agak memuaskan. Selepas USM, UKM, UPM dan dll menjadi pilihan.

Terdapat juga satu kursus bernama AAD dan nampak macam menarik juga. American Associated Degree rasanya ler.. dah lupa tahun 1990 lama juga tu. Aku pun pilih lah sebagai pilihan ke 4 atau 5 rasanya.

Nak jadi cerita lepas hantar boring tu dapat panggilan minta menghadiri temuduga dan ujian bertulis kat Penang. Orang kampong hubungi aku masa kat Bagan tu dan minta aku hadirinya.

PPP, ITM seksyen 17, Shah Alam

Aku lansung tak buat persediaan sebab AAD bukan pilihan utama aku. Minta cuti dari Pak Nayan ‘tauke’ kedai tempat aku bekerja untuk hadiri temuduga tu. Dress up sikit-sikit lepas t u terus gi temuduga.

Ada ujian psikologi katanya. Kita kena jujur dalam menjawab ujian tersebut. Tak salah aku, kertas ujian dari JPA. Aku main hentam saja sebab tak minat sangat. Lepas ujian ada temuduga dalam bahasa Inggeris. Habis la aku….. English SPM dulu pun Khidir – kawan baik 5 S 1 yang tolong.

Bila penemuduga tanya, aku ter ‘a..a’menjawab, dia offer cakap melayu. Aku apa lagi ..bantai lah cukup-cukup.

Awal bulan Julai tahun 1990 dapat tawaran dari Pusat Pengajian Persediaan (PPP), ITM. Aku layak mengikuti khursus persediaan ke USA. Tak pernah terfikir aku layak, dah ler English bodoh giler. Masa interview hari tu, Penemuduga ada beritahu tak perlu risau sebab kat KPP akan diajar sampai pandai English.

Aku pun dengan sedikit bangga buat keputusan menerima tawaran tersebut. Tambahan pula bila menghubungi beberapa kawan-kawan lain seperti Mat Zakiaq, Raziman, Khidzir, Meor dan lain-lain lagi juga menerima tawaran tersebut.

15 Julai 1990 seingat aku ler, aku mula mendaftar di PPP kat S Alam. Punya la seronok sebab mula belajar kat IPTA ala-ala Kolej gitu. Tak payah pakai uniform sekolah lagi. Keluar masuk asrama pun bebas tak kira malam ke siang. Yang nakal pulak apa lagi hisap rokok macam perkara biasa. kira tak terkawal kehidupan kampus kat situ.

Gambar Kenangan Batch 1990 PPP bersama seorang pensyarah - Yg paling hitam tu..

Berlaku sedikit perubahan mendadak dalam jiwa remaja aku pada masa itu sebab dari sekolah yang begitu mengongkong pelajar dan dengan jadual yang ketat berubah kepada kebebasan tak terhingga. Tambahan pula setiap pelajar dapat elaun tetap bulanan dari loan JPA. Enjoy sakan ler masa tu.

Hampir 1 tahun aku habiskan masa di sana, kelas semua dalam bahasa Inggeris, bahasa yang begitu elergik buat aku sebelum tu. Aku tempuhi juga , peperiksaan mata pelajaran sains dan math aku lulus dapat ‘B’ & ‘C’ tetapi aku gagal untuk ujian TOEFL. Mata pelajaran English dan merupakan syarat wajib lulus untuk melanjutkan pelajaran ke USA.

Terbukti aku begitu lemah dalam mata pelajaran English, walaupun beberapa kali mencuba tetapi tetap gagal. Pada May 1991 aku telah disinkirkan dari PPP. ‘Kena kick’ bahasa biasa orang muda. Saat hitam dalam hidupku.

Aku begitu sedih dan malu berjumpa kawan-kawan lain kerana mereka semua berjaya terbang ke Amerika. Aku balik dengan rasa kecewa dan telah berputus asa. Aku mendapat tawaran melanjutkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari ITM pada masa itu tetapi aku tolak.

ITM mempunyai kaitan terus dengan PPP di mana setiap pelajar yang dibuang dari PPP akan ditawarkan meneruskan pengajian di sana. Walaupun aku salah seorang dari mereka yang mendapat tawaran tetapi aku telah berputus asa dan tidak mahu lagi menyambung pelajaran….

Agaknya jiwa remaja agak sukar menerima kegagalan dan tidak cuba membaiki diri….

Dari pengalaman ini aku dapat rasakan bahawa panduan dan dorongan orang tua amat perlu untuk memandu (drive) remaja.

Kesimpulannya, pilihan remaja selalunya tidak tepat dan singkat fikirannya dan pastinya memerlukan dorongan orang dewasa.

Bersambung….

Kisah bangkit dari kegagalan…..

Friday, October 2, 2009

Pengalaman kerja selepas SPM


Kali ni nak menulis sambungan kisah selepas SPM. Sebelum keputusan SPM diumumkan, pastinya ramai pelajar akan bekerja sementara. Apa-apa pekerjaan boleh dibuat asalkan halal sementara menunggu keputusan SPM Keluar.

Aku tak terkecuali berfikir untuk bekerja sebelum berakhir SPM lagi. Selepas SPM, semua pelajar akan pulang ke kampong masing-masing. Aku balik juga tapi hanya tinggal untuk beberapa hari sahaja. Di kampong aku merancang untuk ke luar dan bekerja.

Tapi di manakah nak dituju, itu yang bermain di fikiranku. Mujur ada rakan-rakan dari kampong umpamanya Asri, Rosli, Awang mat Gajah bekerja di Bagan. Bagan nama timangan bagi Seberang Perai. Aku pun mengambil keputusan mencuba nasib di sana. Asri ada memberitahuku lokasi tempat mereka bekerja.

Tepat pada 31 Desember 1989, aku nekad untuk ke Bagan mencari kerja. Kerana tiada siapa di sana, aku mencari kenalan sekolah (SMTSP) untuk menemaniku. Syam (Bukan nama sebenar) datang dari Kulim dan menemuiku di Jeti Bagan.

Aku hanya berbekalkan RM20, tiba di satu tempat agak asing kerana kali pertama ke sana mengharapkan rakan sekolah sudi membantu. Rupa-rupanya dia hanya sudi bersama aku pada malam tahun baru tersebut sahaja. Kami sama-sama ke Penang dan terus ke Padang Tembak menyaksikan pertunjukkan bunga api.

Syam agak cekap selok belok pengankutan awam seperti bas dan feri Pulau Pinang mengajak aku mengikutnya. Katanya kita enjoy dulu malam ni, kemudian baru cari kerja. Aku sebab tak tahu menahu tempat baru bagiku ini terus mengikutinya.

Lepas sambutan bunga api, kami ‘lepak’ kat Penang sampai pagi. Besoknya kami pulang ke Jeti Bagan semula malangnya Syam mengambil keputusan untuk balik ke rumahnya mungkin keran penat agaknya. Tinggallah aku seorang terkuntang kanting di situ. Aku agak panik pada masa tu kerana buntu apa yang perlu dibuat. Nak balik kampong terasa sia-sia datang jauh.

Dek kerana nekad untuk mencari kerja, aku tak jadi balik Kedah walaupun keseorangan di situ. Pada masa tu teringat Asri kawan kampong. Walaupun tak membesar bersama sebab aku bersekolah di asrama tetapi sikap baiknya atas dasar kawan sekampung sudi membantu. Aku terus mencari Asri yang bekerja di gerai makan di atas jeti Bagan.


Gambar sekadar hiasan - Gerai di Jeti Bagan sudah tiada lagi..

Mujur gerainya mudah dijumpai, aku berasa lega kerana dapat jumpa orang kampong di tempat asing ini. Aku ceritakan pada Asri tujuan ke sana untuk cari kerja. Asri meminta aku berjumpa tuan punya gerainya untuk meminta kerja dengannya. Malangnya aku tiada kemahiran memasak tidak diterimanya.

Aku semakin resah kerana agak susah mencari kerja walaupun hanya sebagai ‘waiter’ kedai makan. Setelah mencuba beberapa kedai, aku bernasib baik kerana Pak Nayan’ tauke’ kedai kopi sudi mengambil ku bekerja.

Pak Nayan terus memintaku mula bekerja dengannya membantu jaga kedai kopi miliknya. Aku walaupun tidak tidur malam tadi terus mula bekerja. Beg galas yang ku bawa bersama ku letakkan di tepi kedai dam mula membantu pekerja lama Pak Nayan.

Pak Nayan memang baik orangnya kerana sudi menumpangkan aku tinggal bersamanya. Lega rasanya kerana masih ada orang yang baik hati di saat aku begitu memerlukan.

Agak lama aku bekerja bersama Pak Nayan – hampir 7 bulan dan Pak Nayan melayanku umpama keluarga sendiri. Aku di ajar cara-cara melayan pelanggan dengan berkesan, menjaga hati pelanggan hinggalah membuat air cara yang betul.

Dari situ aku belajar membancuh air dari jenis panas, the kopi, milo, dll hinggalah kepada air buah – jus oren, epal, tembikai dan lainnya.

Dalam 7 bulan aku belajar, bukannya mudah untuk bekerja dan mencari rezki jika berbekalakn keringat empat kerat sahaja. Kelulusan adalah penting dalam membina kerjaya. Tanpanya kita terpaksa bekerja keras , bangun seawal 6 pagi dan balik selewat 10 malam hanya untuk mendapat gaji dalam lingkungan RM50 sehari.

Walhal seorang ekskekutif hanya perlu duduk di ofis jam 8.00 ~ 5.00 ptg mampu memperolehi pendapatan RM100 lebih dalam sehari. Tidak perlu berpenat lelah menggunakan keringat tulang empat kerat. Sedakar cetusan idea dari ilmu yang tuhan beri.

Untuk anak2 abah : Belajar lah setinggi yang mungkin sebolehnya lebih baik dari abah supaya tidak gusar dalam memilih kerjaya kelak.

Penulis kini masih mampu tersenyum bila mengenangkan kepenatan bekerja di kedai kopi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

arries family Blak Magik isesigned by productive dreams for smashing magazine Bloggerized by Ipiet © 2008