Blog ini mengambarkan keluarga Arrie. Berita semasa tentang perkembangan ahli keluarga. Kejayaan, kenangan pahit manis akan dinukilkan disini...

online

URL tambah duit

Thursday, March 10, 2011

Mari membina Keluarga Sakinah


Tergerak di hati abah untuk menulis tentang Keluarga Sakinah. Mungkin ramai yang masih tidak memahami konsep sebenar tentang keluarga sakinah ini. Pastinya setiap dari ahli keluarga impikannya tetapi tidak tahu apakah dimaksudkan Sakinah itu sendiri dan bagaimana hendak mencapainya. Setengahnya mungkin berpendapat ianya dari luaran (meterial) semata-mata.

Sebenarnya Allah Subhanahuwata'ala telah menjelaskan dalam Al-quran takrif sakinah itu sendiri.

وَمِنْ ءَايَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ {٢١}

"Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah." (Surah al-Rum, ayat 21)

Sakinah bermaksud ketenangan/kabahagiaan (tenang dan tenteram) dan tujuan perkahwinan itu sendiri untuk mendapatkan Sakinah tersebut. Jelas ayat di atas menyatakan tujuan perkahwinan dalam Islam adalah untuk membentuk keluarga yang sempurna.

Ini bermakna, keluarga sakinah bukan sahaja beerti keluarga yang tenang dan bahagia tetapi lebih daripada itu, iaitu perlunya cinta yang diberikan oleh suami kepada isteri dan keluarga dan juga sebaliknya.

Selain dari Sakinah yang telah diperolehi, Allah juga menyediakan untuk kedua-dua pasangan Mawahhah Warrahmah (Rasa berkasih sayang). Sebahagian ahli tafsir membezakan makna mawaddah dan rahmah ini. Bagi mereka, mawaddah adalah rasa cinta berdasarkan syahwat kemanusiaan, iaitu keinginan untuk melakukan persetubuhan suami isteri yang akan melahirkan dan mengembangkan keturunan manusia.

Mawaddah atau keinginan untuk melakukan persetubuhan suami isteri ini ada hadnya seiring dengan umur manusia itu sendiri. Apabila seorang lelaki telah berumur 60-70 tahun dan perempuan berumur 50 tahun, mawaddah ini akan berkurangan. Maka, pada saat inilah Allah akan menimbulkan rahmah atau kasih sayang yang suci murni di hati pasangan berkenaan.

Menurut Prof Dr Hamka, rahmah lebih tinggi kedudukannya daripada mawaddah sebab ia kasih mesra di antara suami isteri yang bukan lagi berasaskan keinginan syahwat, sebaliknya rasa kasih sayang murni yang tumbuh dari jiwa yang paling dalam sehingga suami isteri merasakan kebahagiaan yang tidak bertepi dan ketenangan yang tidak berbatas. Pada masa ini mereka bukan lagi berfikir mengenai tongkat ali, Viagra dan ubat-ubat lain bagi mengembalikan kekuatan tenaga batin tetapi yang mereka inginkan adalah mengisi hari-hari akhir ini dengan beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah sedekat-dekatnya secara bersama-sama. Mereka juga berusaha memberikan contoh yang baik, teladan dan nasihat kepada anak cucu supaya mereka tidak salah dalam memilih jalan hidup di dunia yang penuh dugaan ini. Inilah hakikat rahmah itu.

Soalnya, bagaimana untuk mendapatkan mawaddah warrahmah tersebut. Pastinya tanpa panduan wahyu dan juga rujukan teladan dari Rasullullah SAW agak mustahil mencapainya. Bila muhasabah semula arriesfamily adakah mempunyai ciri-ciri tersebut. Al-hamdulillah, sebahagian kecil telah ada dan bercita-cita selaras dengan konsep sakinah tersebut.
Keceriaan di wajah ahli keluarga menjadi pembakar semangat untuk terus menuju mawaddah warrahmah. Ya Allah..semoga arriesfamily berterusan istoqamah dalam membina keluarga sakinah ini..

Wednesday, March 9, 2011

Bersabar lah.....


Bersabar - Ungkapan yang biasa didengar tetapi begitu payah menghadapinya terutama bila kita diuji. Kadang2 rasa hairan kenapa asyik dilanda ujian. Kadang-kadang kita lupa, kiranya kita benar-benar bersabar dan berjaya menempuh ujian dan dugaan dengan sebaiknya. Besar ganjaran menanti kita.

“Ujian yang paling berat adalah bagi para nabi, kemudian berikutnya dan berikutnya, seseorang diuji (oleh Allah) sesuai dengan kadar agamanya. Maka tidaklah musibah menimpa seseorang sehingga ia berjalan di atas bumi dan tidak ada dosa padanya.” – Hadith riwayat Bukhari

Ada orang diuji dengan kesakitan, penyakit, lumpuh, stroke dan sebagainya tapi adakah mereka sedar bahawa banyak ganjaran menanti mereka jika mereka sabar dan menerima ketentuan-Nya. Janganlah pula merungut atas musibah yang melanda.
“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” – Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Rasullullah SAW menggambarkan betapa hebatnya seorang mukmin yang sentiasa bersyukur atas kurnia dari-Nya dan bersabar atas setiap musibah yang melanda. Beruntunglah jika kita menjadi sebahagian dari orang mukmin tersebut.

“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkara adalah baik baginya. Dan tidak lah didapati seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin. Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menerpanya maka dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya.” - Hadith riwayat Muslim

Kita hendaklah berusaha bersungguh-sunguh bersabar atas setiap ujian dalam hidup kita. Jika kita berjaya menghadapinya dengan tabah dan penuh kesabaran, besar ganjaran yang menanti . Rasullullah SAW memberi perumpamaan orang yang sabar seperti emas bila bercampur api.

“Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” – Hadis riwayat Thobrani

Kadangkala kita mudah menghadapi ujian kepayahan tetapi tewas aras ujian kemewahan. Kita lupa bahawa kesenangan ataupun kemewahan harta dunia juga merupakan satu bentuk ujian. Peringatan ini telah disabdakan oleh Rasul junjungan:-

Diriwayatkan daripada Kaab bin Iyadh r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya setiap umat itu ada ujiannya dan ujian umatku adalah harta kekayaan. “ – Hadith riwayat Imam Tirmizi
Semoga arriesfamily semakin tabah dan kuat kesabarannya menghadapi segala ujian mendatang...Amin.

Tuesday, March 8, 2011

Kisah Tingkatan 6


Agak terlalu lama tak cerita, kisah hidup abah. Mungkin banyak memori dah makin hilang. Maklumlah RAM cuma 512 GB - Dah tua. Tapi untuk panduan dan pedoman arriesfamily, abah sambung semula cerita sekolah dulu2....
Setelah gagal melepasi KPP seperti dalam cerita terdahulu (http://arriesfamily.blogspot.com/2009/10/kegagalan-asam-garam-hidup.html), aku balik kampung buat seketika. Masa tu pada tahun 1991. Lebih kurang 2 minggu di kampung hati mula resah. Cukuplah sekadar mengatakan kurang selesa menetap di sana. Aku ambil keputusan keluar semula dari kampung dan bekerja kembali di kedai kopi Pak Nayan. Kisah kerja ni pernah disiarkan dalam artikel terdahulu (http://arriesfamily.blogspot.com/2009/10/pengalaman-kerja-selepas-spm.html)

Aku seperti tiada pedoman, setelah gagal dan ditendang keluar dari KPP, UITM terasa begitu kecewa. Malas nak terus belajar dan telah putus asa. Nasib baik ada kakak yang begitu mengambil berat pada masa tu.

Kak Jah datang ke tempat aku bekerja. Kami berbincang. Katanya dia sedih tengok aku kerja kedai kopi macam tiada masa depan. Aku masih muda dan sewajarnya aku terus belajar. Aku agak buntu tetapi atas dorongannya aku bersetuju memeruskan pembelajaran dan ambil STPM. Terima kasih tak terhingga kepada Kak Jah kerana menasihati adikmu ini dan begitu juga kepada Arwah Abang Zain kerana berusaha mendapatkan tempat sekolah tingkatan 6.

Sekolah menjadi pilihan adalah Sekolah Men Ibrahim (SMI). Sekolah yang bagus di Sungai Petani , Kedah dan aku layak sambung beljar di situ. Aku lah satu-satunya pelajar melayu aliran Sains yang mengambil mata pelajaran double math. Maksudnya hanya aku seorang yang belajar dalam kelas tu yang berkulit sawo matang yang lainnya semua putih melepak (Cina).

Agak sukar bergaul dengan mereka kerana semua cakap Hokkien dan English. Aku gagahi juga kerana tak mahu kecewakan Kak Jah yang bersusah payah membayar semua yuran2 persekolahan dan bagi duit poket.

Tingkatan 6 atas aku menetap di asrama. Banyak juga kenangan di sana tapi yang paling ketara suasana asrama sekolah biasa dengan sekolah asrama penuh (SBP) amat berbeza. Kemudahan juga berbeza. Pastinya SBP lebih banyak kemudahannya.

Disiplin pelajar juga jauh berbeza. Asrama di SMI umpama tempat persinggahan. Boleh keluar dan masuk sesuka hati. Walaupun ada undang2 tidak membenarkan pelajar 'lompat pagar' tapi seolah-olah tiada sekatan. Lubang pagar ada di mana-mana. Aku tidak terkecuali menjadi sebahagian budak nakal walaupun berada di tahun 6 atas. Tahun menghadapi peperiksaan besar -STPM. Masih teringat lagi, satu malam keluar bersama Bakri dan ditangkap Warden Asrama. Hukuman - Rotan. Sakit tidur malam tu tapi terima kasih kepada Cikgu yang mengambil tindakan tersebut kerana jika tidak, mungkin aku tak jadi seperti sekarang ni.

Di asrama aku agak rapat dengan beberapa orang pelajar lain kebanyakan dari Kuala Muda, Kedah. Nama seperti Bakri, Naim, Anuar masih segar dalam ingatan. Aku pernah bermalam di rumah mereka jika pulang hujung minggu. Agak hairan aku lebih senang habiskan hujung minggu di rumah kawan dari balik kampung. Mungkin sebab jauh agaknya...
Malangnya kini semua mereka telah terputus hubungan.

STPM berjaya aku tempuhi walaupun belajar keseorangan tanpa seorang pun kawan Melayu yang sealiran. Kawan lain semua aliran sastera-ekonomi dan sains hayat. Keputusan STPM agak hambar. Aku cuma mendapat 1B, 1C dan 3R tapi syukur melayakkan aku menyambung pelajaran ke IPTA.
Kepada Arrie, Iffa, Ammar, Dina & Syira - Semoga anak-anak abah semuanya dapat belajar dengan lebih baik berbanding abah. Tumpukan masa belajar terhadap pelajaran dan lupakan keseronokan jiwa remaja buat seketika. Ingat, manfaatkan masa belajar sebaiknya kerana apa yang anak2 usahakan adalah untuk kebaikan diri sendiri juga, sekali gagal bukan beerti selamanya gagal.........

Bersambung....

Kenapa kita diuji...


Dalam dok google atas sebab2 kenapa kita diuji, terjumpa artikel yang bermanfaat untuk arriesfamily. Semoga kita dapat jadikan ianya satu motivasi dalam menempuh liku2 hidup mendatang....

Link asal:-
http://bicaraarianni.blogspot.com/2010/02/kenapa-kita-diuji.html

~ Bismillahirrahmanirrahim ~
.
Firman Allah dalam Surah Al Ankabut : 1-3

Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
.
Hakikat kehidupan ini adalah ujian dari Allah s.w.t.
Mengapa manusia diuji?
.
Rasa kehambaan
.
Rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap TuhanNya iaitu rasa miskin, jahil,lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesusahan, kemiskinan, kekurangan atau cercaan, seorang yang memiliki rasa kehambaan akan nampak segalanya itu datang daripada Allah s.w.t.
.
Firman Allah dalam Surah At Taubah : 51
"Katakanlah (Muhammad) tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman"
.
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu.
.
Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita 'memberontak' hati akan bertambah kacau.
.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja'
Innalillahi wainna ilaihi rajiun
.
Firman Allah dalam Surah Al Baqarah : 156
"Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali"
.
Mengapa kita diperintahkan mengucap istirja'? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah, kepadaNya kita akan dikembalikan.

Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita adalah hambaNya.

Rasa bertuhan
.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha Kuat. Bila rasa kurang, timbul pengharapan kepada yang Maha Sempurna. Bila miskin, timbul rasa ingin meminta pada yang Maha Kaya.
.
Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan adalah hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan. Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat.
.
Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah disisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya.
.
Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah s.a.w yang mententeramkan Saidina Abu Bakar ketika bersembunyi di Gua Thur dengan katanya "La Tahzan Innallaha Maana - Jangan takut sesungguhnya Allah bersama kita!"
.
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para Nabi dan Rasul, mujadid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan dengan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.
.
Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah s.w.t.
.
Firman Allah dalam Surah Al Baqarah: 153
"Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat"
.
Memahami maksud takdir Allah s.w.t
.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah s.w.t. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah disamping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu.
.
Kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita ialah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutama bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah. Yakin kepada kasih sayang, keampunan dan sifat pemurahNya.
.
Apa jua takdir yang ditimpakanNya keatas kita, adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandanganNya yang Maha Luas, semua yang ditakdirkan keatas hambaNya pasti bermaksud baik. Jadi bersangka baik kepada Allah s.w.t.
.
Firman Allah dalam Surah Al Baqarah: 216
"Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya"
.
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih 'kerja tuhan' yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita yakni mengawal perlayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari masa ke semasa.
.
Mendapat hikmah bila diuji
.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Melalui ujian-uijan kita mendapat didikan langsung daripada Allah.
.
Sabda Rasulullah s.a.w
"Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja"
.
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha dan pemaaf daripada Allah? Maka dengan ujian, darjat para rasul, para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ditingkatkan. Mereka sentiasa diuji dan paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.
.
Firman Allah dalam Surah Al Baqarah: 214
Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan sehingga Rasul dan orang-orang beriman bersamanya merintih, "Bilakah datangnya pertolongan Allah?"
Bagi orang yang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik disebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkanNya sebagai satu pengampunan.
Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
.
Justeru, berkata para muqarrabin tentang hikmah ujian..
"Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan dan Allah melepaskan engkau dari kedua-duanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah"
.
~ Wallahualam ~

Monday, March 7, 2011

Pengajaran disebalik musibah


Al-hamdulillah, ujian dari Allah untuk arriesfamily dapat kami tempuhi dengan tenang. Bila difikirkan kenapa kami asyik diuji. Mengapa banyak musibah menimpa arriesfamily kebelakangan ini ?
Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah tarbiah dari Allah kerana bila kita berada pada jalanNya, pastinya kita diuji. Nabi SAW sendiri pernah diuji.

Dua peristiwa terpenting dalam sejarah Islam yang mengharu dan menggoncang iman serta kesabaran boleh dijadikan landasan sebagai panduan mendidik jiwa menerima qada dan qadar Allah. Peristiwa itu dihadapi Rasulullah saw iaitu kematian Saidatina Khadijah binti Khuwailid dan Abu Talib Bin Abdul Mutalib. Peristiwa itu dicatatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun duka cita atau kesedihan bagi Rasulullah. Abu Talib ialah bapa saudara Baginda yang memeliharanya sejak kecil. Beliau memimpinnya pada masa remaja dan selepas Baginda dewasa. Ketika Nabi diangkat menjadi utusan Allah, Baginda dicemuh dengan pelbagai bentuk tindakan. Abu Talib walaupun tidak menerima dakwah Baginda dan tidak memeluk agama Islam, beliau yang melindungi Baginda daripada perbuatan jahat orang Quraisy.

Selepas kematian Abu Talib, Nabi menerima tamparan hebat dengan kematian isteri Baginda, Khadijah. Beliau adalah wanita yang sentiasa bersama Rasulullah ketika senang atau susah. Khadijah juga penghibur pada saat Baginda gelisah. Isteri yang taat, patuh dan berbudi mulia. Selepas kematian Khadijah, Rasulullah berasakan kehilangan yang besar. Kesepian dirasai Baginda dengan hilang kegembiraan pada wajahnya untuk berdakwah. Pada saat itulah penderitaan yang teramat sangat menyelubungi Baginda. Kaum Quraisy turut menggandakan tentangan terhadap Baginda selepas kematian dua pembela dan pelindung Rasulullah ketika ditimpa kesusahan. Anaknya, Saidatina Fatimah melihat keadaan itu dengan penuh kesedihan. Lantaran itu, beliau menangis di hadapan Rasulullah. Baginda memujuknya dengan berkata: “Janganlah menangis wahai anak kesayanganku, Allah melindungi ayahmu daripada kejahatan manusia.” Namun Allah mengurniakan ketabahan dan kesabaran pada jiwa Rasulullah dan Baginda kembali tenang untuk meneruskan perjuangan menyampaikan risalah Allah.

Jika dibandingkan musibah arriesfamily yang sedikit itu, tidaklah terbanding dengan perderitaan junjungan besar kita. Para sahabat Radiallahhu'anhum juga diuji..

Peristiwa kewafatan Nabi juga lembaran penting dalam sejarah Islam yang turut menggoncang iman dan kesabaran umat Islam seluruhnya. Pada saat kota Madinah diselubungi kesedihan, sebilangan sahabat tidak menerima hakikat itu.

Antaranya ialah Saidina Umar Al-Khattab. Umar menghunuskan pedangnya dan menggertak akan membunuh sesiapa yang mengatakan Baginda sudah wafat. Umar seolah-olah kebingungan tidak mahu membenarkan berita kewafatan itu. Abu Bakar As-Siddiq mententeramkan Umar. Beliau walaupun dalam kesedihan, menenangkan sahabatnya dengan berkata: “Wahai manusia! Sesiapa menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad sudah wafat. Namun, sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah tidak mati.”

Kewafatan Rasulullah adalah ujian yang maha hebat kepada umat Islam untuk menerimanya dan memberi kesan besar kepada iman seseorang. Hal ini berlaku kepada sanak saudara, sahabat handai, jiran dan rakan taulan, khususnya seluruh umat Islam. Justeru, Islam sentiasa menyarankan umatnya mengharungi kehidupan yang dilanda musibah dan malapetaka dengan penuh kesabaran dan kecekalan hati.Bagi mengubat kedukaan dan kesedihan akibat ditimpa musibah, Islam menawarkan penawarnya.

Firman Allah bermaksud: “Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun). Kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.” (Surahat-Takwir ayat 29).

Ujian juga simbolik sebagai perbandingan antara orang yang taat dan ingkar. Ini juga untuk melihat sejauh mana kesabaran dan ketaatan hamba-Nya menerima ujian itu. Seterusnya, ujian itu membentuk keperibadian dan mengangkat martabat serta menghapuskan dosa yang dilakukan. Ujian yang diterima juga adalah medan memperkasakan kesabaran dan membiasakan diri serta menetapkan pendiriannya untuk meneruskan kehidupan. Kehidupan yang dipayungi ujian perlu diiringi dengan sabar dan tabah kerana ini adalah tahap iman paling tinggi di sisi Allah.

Pengajaran yang dapat diambil dari sedikit musibah (kesusahan,kepayahan) yang melanda arriesfamily ialah supaya kita semua lebih tabah menghadapi hari2 mendatang.

Firman Allah bermaksud:“Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagaikebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 156 – 157).

Untuk mama tercinta dan anak2 tersayang semoga ujian dari Allah ini dapat kita jadikan panduan untuk kita lebih tabah menghadapi ujian yang lebih besar pada masa akan datang. Semoga arriesfamily sentiasa berada dalam lindungan-Nya...

Saturday, March 5, 2011

Ujian Demi Ujian...


Dalam memikirkan kenapa arriesfamily diuji..

Kadang-kadang ujian datang bertimpa-timpa. Begitu berat rasanya setiap ujian itu. Tapi aku selalu lupa bahawa setiap persoalan tentang kenapa kita diuji telah dinukilkan dalam Kitabullah..

Betapa sayangnya Allah pada kita sehingga di dalam al-Quran diselitkan dengan motivasi supaya hamba-hamba-Nya ini tabah dalam menghadapi segala dugaan sebelum menuju ke perhentian abadi…

KENAPA AKU DIUJI?

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;”Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.”

-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG DIIDAM-IDAMKAN?

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

-Surah Al-Baqarah ayat 216

KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”

-Surah Al-Baqarah ayat 286

RASA KECEWA?

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.”

-Surah Al-Imran ayat 139

BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

-Surah Al-Imran ayat 200

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”

-Surah Al-Baqarah ayat 45

APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang mu’min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…

-Surah At-Taubah ayat 111

KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal.”

-Surah At-Taubah ayat 129

AKU SUDAH TIDAK DAPAT BERTAHAN LAGI!!!!!

“dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.”

-Surah Yusuf ayat 12

Semoga peringatan dari RabbulJalil melalui kitab suciNya dapat menjadi motivasi buat arriesfamily....

Friday, March 4, 2011

Aku tewas lagi...


Ya Allah...
Sesungguhnya aku tewas lagi.
Begitu lemah lagi kerdil hambaMu ini.
Ujianmu begitu berat buatku Ya Allah....
Aku hampir tidak mampu menghadapinya Ya Allah....
Tapi aku yakin bahawa setiap hamba diuji atas kemampuannya Ya Allah...
Cumanya aku begitu lemah tak terdaya menghadapinya.
Kau berilah kekuatan Ya Allah..

Kenapalah aku begitu mudah tewas dengan sedikit hasutan Syaitan laknatullah..
Aku menurut hawa nafsu ku Ya Allah...
Aku tengking isteriku lagi...
Bapa apakah aku ini, suami apakah aku ini..

Aku sedar sesungguhnya ujian kepayahan ini membuktikan ada hikmahnya.
setiap orang beriman akan diuji dan setiap ujian bergantung tahap keimanannya.
Kiranya ujian kepayahan ini adalah tanda dekatnya Engkau dengan hambaMu ini..
Aku redho..

Aku munajat kepadamu, kau ampunlah aku sekeluarga kiranya aku masih lagi dalam kealpaan.
Rasanya begitu sukar menaggung beban ini Ya Allah.

Untuk mama dan anak2 semua, kiranya segala musibah ini adalah atas kafarah dosa2 yang abah lakukan.
Abah redho...
Abah mohon kemaafan atas ketelanjuran yang abah lakukan.
Abah telah melukakan banyak jiwa terutamanya mama tersayang.

Mama,
Abah begitu menyayangi mama dan keluarga.
Cumanya abah kerap tewas, gagal mengatasinya secara berhemah.
Berilah sedikit ruang untuk abah melukut...

Sesungguhnya ujian ini memang berat tetapi abah yakin.
Kiranya ianya kafarah terhadap2 dosa kita terhadap keluarga dan jiwa masing.
Ianya merupakan perlepasan dan keampunan dari Allah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

arries family Blak Magik isesigned by productive dreams for smashing magazine Bloggerized by Ipiet © 2008