Dalam dok google atas sebab2 kenapa kita diuji, terjumpa artikel yang bermanfaat untuk arriesfamily. Semoga kita dapat jadikan ianya satu motivasi dalam menempuh liku2 hidup mendatang....
Link asal:-
http://bicaraarianni.blogspot.com/2010/02/kenapa-kita-diuji.html
~ Bismillahirrahmanirrahim ~
.
Firman Allah dalam Surah Al Ankabut : 1-3
Alif laam miim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan : "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
.
Hakikat kehidupan ini adalah ujian dari Allah s.w.t.
Mengapa manusia diuji?
.
Rasa kehambaan
.
Rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap TuhanNya iaitu rasa miskin, jahil,lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesusahan, kemiskinan, kekurangan atau cercaan, seorang yang memiliki rasa kehambaan akan nampak segalanya itu datang daripada Allah s.w.t.
.
Firman Allah dalam Surah At Taubah : 51
"Katakanlah (Muhammad) tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman"
.
Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu.
.
Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita 'memberontak' hati akan bertambah kacau.
.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja'
Innalillahi wainna ilaihi rajiun
.
Firman Allah dalam Surah Al Baqarah : 156
"Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali"
.
Mengapa kita diperintahkan mengucap istirja'? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah, kepadaNya kita akan dikembalikan.
Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita adalah hambaNya.
Rasa bertuhan
.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha Kuat. Bila rasa kurang, timbul pengharapan kepada yang Maha Sempurna. Bila miskin, timbul rasa ingin meminta pada yang Maha Kaya.
.
Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan adalah hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan. Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat.
.
Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah disisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya.
.
Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah s.a.w yang mententeramkan Saidina Abu Bakar ketika bersembunyi di Gua Thur dengan katanya "La Tahzan Innallaha Maana - Jangan takut sesungguhnya Allah bersama kita!"
.
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para Nabi dan Rasul, mujadid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan dengan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.
.
Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah s.w.t.
.
Firman Allah dalam Surah Al Baqarah: 153
"Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat"
.
Memahami maksud takdir Allah s.w.t
.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah s.w.t. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah disamping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu.
.
Kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita. Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita ialah hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutama bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah. Yakin kepada kasih sayang, keampunan dan sifat pemurahNya.
.
Apa jua takdir yang ditimpakanNya keatas kita, adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandanganNya yang Maha Luas, semua yang ditakdirkan keatas hambaNya pasti bermaksud baik. Jadi bersangka baik kepada Allah s.w.t.
.
Firman Allah dalam Surah Al Baqarah: 216
"Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya"
.
Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih 'kerja tuhan' yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita yakni mengawal perlayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari masa ke semasa.
.
Mendapat hikmah bila diuji
.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Melalui ujian-uijan kita mendapat didikan langsung daripada Allah.
.
Sabda Rasulullah s.a.w
"Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja"
.
Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, redha dan pemaaf daripada Allah? Maka dengan ujian, darjat para rasul, para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ditingkatkan. Mereka sentiasa diuji dan paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian.
.
Firman Allah dalam Surah Al Baqarah: 214
Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan sehingga Rasul dan orang-orang beriman bersamanya merintih, "Bilakah datangnya pertolongan Allah?"
Bagi orang yang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik disebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkanNya sebagai satu pengampunan.
Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
.
Justeru, berkata para muqarrabin tentang hikmah ujian..
"Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan dan Allah melepaskan engkau dari kedua-duanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah"
.
~ Wallahualam ~
0 comments:
Post a Comment