Kali ni nak menulis sambungan kisah selepas SPM. Sebelum keputusan SPM diumumkan, pastinya ramai pelajar akan bekerja sementara. Apa-apa pekerjaan boleh dibuat asalkan halal sementara menunggu keputusan SPM Keluar.
Aku tak terkecuali berfikir untuk bekerja sebelum berakhir SPM lagi. Selepas SPM, semua pelajar akan pulang ke kampong masing-masing. Aku balik juga tapi hanya tinggal untuk beberapa hari sahaja. Di kampong aku merancang untuk ke luar dan bekerja.
Tapi di manakah nak dituju, itu yang bermain di fikiranku. Mujur ada rakan-rakan dari kampong umpamanya Asri, Rosli, Awang mat Gajah bekerja di Bagan. Bagan nama timangan bagi Seberang Perai. Aku pun mengambil keputusan mencuba nasib di sana. Asri ada memberitahuku lokasi tempat mereka bekerja.
Tepat pada 31 Desember 1989, aku nekad untuk ke Bagan mencari kerja. Kerana tiada siapa di sana, aku mencari kenalan sekolah (SMTSP) untuk menemaniku. Syam (Bukan nama sebenar) datang dari Kulim dan menemuiku di Jeti Bagan.
Aku hanya berbekalkan RM20, tiba di satu tempat agak asing kerana kali pertama ke sana mengharapkan rakan sekolah sudi membantu. Rupa-rupanya dia hanya sudi bersama aku pada malam tahun baru tersebut sahaja. Kami sama-sama ke Penang dan terus ke Padang Tembak menyaksikan pertunjukkan bunga api.
Syam agak cekap selok belok pengankutan awam seperti bas dan feri Pulau Pinang mengajak aku mengikutnya. Katanya kita enjoy dulu malam ni, kemudian baru cari kerja. Aku sebab tak tahu menahu tempat baru bagiku ini terus mengikutinya.
Lepas sambutan bunga api, kami ‘lepak’ kat Penang sampai pagi. Besoknya kami pulang ke Jeti Bagan semula malangnya Syam mengambil keputusan untuk balik ke rumahnya mungkin keran penat agaknya. Tinggallah aku seorang terkuntang kanting di situ. Aku agak panik pada masa tu kerana buntu apa yang perlu dibuat. Nak balik kampong terasa sia-sia datang jauh.
Dek kerana nekad untuk mencari kerja, aku tak jadi balik Kedah walaupun keseorangan di situ. Pada masa tu teringat Asri kawan kampong. Walaupun tak membesar bersama sebab aku bersekolah di asrama tetapi sikap baiknya atas dasar kawan sekampung sudi membantu. Aku
terus mencari Asri yang bekerja di gerai makan di atas jeti Bagan.
Gambar sekadar hiasan - Gerai di Jeti Bagan sudah tiada lagi..
Mujur gerainya mudah dijumpai, aku berasa lega kerana dapat jumpa orang kampong di tempat asing ini. Aku ceritakan pada Asri tujuan ke sana untuk cari kerja. Asri meminta aku berjumpa tuan punya gerainya untuk meminta kerja dengannya. Malangnya aku tiada kemahiran memasak tidak diterimanya.
Aku semakin resah kerana agak susah mencari kerja walaupun hanya sebagai ‘waiter’ kedai makan. Setelah mencuba beberapa kedai, aku bernasib baik kerana Pak Nayan’ tauke’ kedai kopi sudi mengambil ku bekerja.
Pak Nayan terus memintaku mula bekerja dengannya membantu jaga kedai kopi miliknya. Aku walaupun tidak tidur malam tadi terus mula bekerja. Beg galas yang ku bawa bersama ku letakkan di tepi kedai dam mula membantu pekerja lama Pak Nayan.
Pak Nayan memang baik orangnya kerana sudi menumpangkan aku tinggal bersamanya. Lega rasanya kerana masih ada orang yang baik hati di saat aku begitu memerlukan.
Agak lama aku bekerja bersama Pak Nayan – hampir 7 bulan dan Pak Nayan melayanku umpama keluarga sendiri. Aku di ajar cara-cara melayan pelanggan dengan berkesan, menjaga hati pelanggan hinggalah membuat air cara yang betul.
Dari situ aku belajar membancuh air dari jenis panas, the kopi, milo, dll hinggalah kepada air buah – jus oren, epal, tembikai dan lainnya.
Dalam 7 bulan aku belajar, bukannya mudah untuk bekerja dan mencari rezki jika berbekalakn keringat empat kerat sahaja. Kelulusan adalah penting dalam membina kerjaya. Tanpanya kita terpaksa bekerja keras , bangun seawal 6 pagi dan balik selewat 10 malam hanya untuk mendapat gaji dalam lingkungan RM50 sehari.
Walhal seorang ekskekutif hanya perlu duduk di ofis jam 8.00 ~ 5.00 ptg mampu memperolehi pendapatan RM100 lebih dalam sehari. Tidak perlu berpenat lelah menggunakan keringat tulang empat kerat. Sedakar cetusan idea dari ilmu yang tuhan beri.
Untuk anak2 abah : Belajar lah setinggi yang mungkin sebolehnya lebih baik dari abah supaya tidak gusar dalam memilih kerjaya kelak.
Penulis kini masih mampu tersenyum bila mengenangkan kepenatan bekerja di kedai kopi...

































