Semoga dapat jadi panduan dalam kita berinteraksi dengan hadis. Sekadar berhati-hati takut kita terlibat menyebarkan hadis palsu. Dan sebagai rujukan untuk arriesfamily.blogspot.com bila berinteraksi dengan hadis.
Link asal :-
http://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/isu18.htm
ISU 18 : PENGGUNAAN HADIS PALSU
Soalan 18:
Sebahagian masyarakat kita mengatakan bahawa tidak menjadi kesalahan untuk kita menyebut hadis palsu selagi maksudnya baik dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Adakah pendapat ini diterima?
Jawapan:
Pendapat ini tidak dapat kita terima. Kita perlu melihat kepada dosa dan bahaya menyebarkan hadis-hadis yang tidak benar datangnya daripada Rasulullah SAW. Kita harus berfikir apa akibatnya jika hadis-hadis palsu dan tidak sahih ini diyakini dan dipercayai sebagai sahih oleh masyarakat awam. Hal ini pastinya memberikan gambaran yang berlainan daripada perkara yang sepatutnya difahami dan diketahui oleh mereka. Mari kita renungi satu amaran yang terdapat dalam sabda Nabi SAW:
Maksudnya : Sesiapa yang menyebutkan sesuatu dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya, maka dia telah menempah tempatnya di dalam neraka”[1].
Elok rasanya penulis mencatatkan kata-kata seorang ahli hadis terkenal dari mazhab al Syafie iaitu Ibn Hibban. Menurut beliau ketika menghuraikan hadis sahih:
Maksudnya : “Cukuplah menjadi satu dosa bagi seseorang yang menceritakan segala yang dia dengari (tanpa mengkaji benar atau tidak)”[2]. Ibn Hibban berkata:
Di dalam hadis ini terdapat larangan kepada sesiapa sahaja supaya tidak menyebut semua perkara (termasuk hadis) sehinggalah dia yakini itu adalah sahih[3].
Malah Ibn Hibban telah membuat satu kesimpulan di dalam bukunya yang terkenal iaitu Sahih Ibn Hibban bahawa sesiapa yang menyebut sesuatu hadis tanpa mengetahui adakah hadis tersebut sahih atau tidak maka dia adalah berdosa dan layak memasuki neraka[4].
Al Zahabi dalam bukunya Tazkiratu al Huffaz telah menyebut sebuah hadis palsu bermaksud: “Sesiapa yang menghafal satu hadisku untuk umatku, maka dia mendapat pahala sebanyak pahala tujuh puluh satu Nabi yang benar”. Setelah menyebut hadis ini, beliau berkata:
Hadis ini adalah di antara hadis yang haram diriwayatkan kecuali diberitahu bahawa ia adalah palsu tanpa ragu-ragu lagi. Dan semoga ALLAH membalas perbuatan buruk orang yang menciptanya[5].
Lihatlah kata-kata al Zahabi yang jelas melarang kita meriwayatkan hadis palsu kecuali diberitahu bahawa ia adalah palsu. Walaupun maksud hadis itu nampak baik tetapi al Zahabi tetap tidak membenarkan kita menggunakannya seolah-olah hadis tersebut sahih. Inilah ketelitian yang kita ingini dalam masyarakat.
[1]Hadis sahih riwayat al Bukhari – hadis nombor 109.
[2]Hadis sahih riwayat Muslim – hadis nombor 5.
[3]Tamam al Minnah Fi al Ta’liq ‘Ala Fiqh al Sunnah – Syeikh al Albani – kaedah nombor 11.
[4]Sahih Ibnu Hibban – bab al I’tisham Bi al Sunnah – hadis nombor 29 hingga 32
[5]Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – Muhammad Nasiruddin al Albani – huraian hadis no.1174.
0 comments:
Post a Comment