Tergerak hati menulis tajuk ni memandangkan ramai ahli keluarga dan rakan-rakan aktif menulis blog. Tajuk ni bukan suatu yang baru memandangkan sudah ramai yang menulisnya tetapi untuk renungan bersama, saya memilih tajuk ini sebagai bahan penulisan. Artikel ini boleh memperingati diri penulis sendiri dan juga panduan untuk penulis yang lain.
Perubahan zaman dari penulisan akhbar atau majalah kini bertukar kepada penulisan blog. Dulu penulis hanya menulis artikel dan disebarkan melalui akhbar atau majalah sahaja. Kini, teknologi semakin canggih dan penyebaran maklumat tidak terbatas. Dan memang menjadi trend setiap pengguna broadband mempunyai blog
sendiri.
Setiap blogger cuba untuk mencatikkan blog masing-masing dan menarik ramai pengunjung melayari blog mereka. Berbagai bentuk artikel akan diselitkan dalam blog masing-masing dari berbagai kategori. Dari kisah keluarga, masyarakat, agama, politik hinggalah kepada gossip-gossip panas.
Perlu kita sedari bahawa kita bertanggungjawab terhadap apa-apa artikel dalam blog kita kerana pengunjung akan melayari blog kita. Ianya umpama kita menyampaikan sesuatu berita terus kepada kenalan kita.
Samalah seperti kita berbicara atau bercerita dengan kawan-kawan kita pastinya kena berhati-hati dengan apa yang kita tuturkan. Setiap dari kita bertanggungjawab terhadap apa-apa yang kita tuturkan.
Peringatan terhadap bahaya lisan yang tidak terkawal seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud :-
“Sesungguhnya seorang hamba mengucapkan suatu kata yang Allah redhoi dalam keadaan tidak terpikir olehnya, tidak tergambar kesan akibatnya, dan tidak menyangka kata tersebut membawa sesuatu akibat, ternyata dengan kata tersebut Allah mengangkatnya beberapa derajat. Dan sungguh seorang hamba mengucapkan suatu kata yang Allah murkai dalam keadaan tidak terpikir olehnya, tidak terbayang akibatnya, dan tidak menyangka kata tersebut mengakibatkan sesuatu, ternyata disebabkan itu, Allah melemparkannya ke dalam neraka Jahannam.” (HR. Al-Bukhari no. 6478)
Dapat kita simpulkan bahawa kata-kata yang baik akan membawa kesan yang baik dan begitulah sebaliknya. Samalah halnya dengan penulisan blog, kiranya kita ditapis dengan baik pastinya memberi kesan buruk.
Umpamanya bila kita mendapat maklumat tentang sesuatu yang agak sensasi dan kita terus 'copy & paste' ke dalam blog kita tanpa terlebih dahulu memastikan kebenaran maklumat tersebut.
Kita telah menyampaikan satu maklumat palsu. Lebih memburukkan keadaan kiranya maklumat kita itu menyebabkan nama atau imej seseorang atau sesebuat syarikat terjejas. Contohnya ada artikel menceritakan keburukan sesuatu produk yang kita tak pasti kesahihannya. Disebabkan ianya sensasi kita terus 'paste' dalam blog kita. Kesannya nama dan imej syarikat tersebut tercalar. Lebih memburukkan keadaan pengunjung blog kita pula mengambil artikel kita dan sebarkan lagi.
Tidakkah kita akan turut mendapat saham dalam penyebaran maklumat palsu, kita yang memulakan dan orang lain pula turut menyebarkan. ringkasnya kita telah memulakan suatu kejahatan.
Ramai Penulis ghairah menambah artikel berkualiti dalam blog masing-masing. Ini satu fenomena yang sihat tetapi dalam etika penulisan hendaklah kita menyatakan rujukan asal bila kita mengamalkan kaedah 'copy& paste'. Nyatakan penulis asal dan dari mana artikel itu diperolehi. Jika tidak ianya umpama artikel tersebut milik kita walhal kita hanya copy dari penulis lain.
Mungkin penulis asal tidak bersetuju artikel beliau diciplak. Ini merupakan satu pelanggaran hak cikta. Kita tidak boleh menciklak 'harta intelek' milik orang lain secara semborono.
Jika ini berlaku kita umpama mencuri hak cipta penulis tersebut. Kita jelas maklum bahawa hukum mencuri adalah salah satu dosa besar sebagaimana Islam mengenakan hudud terhadap kesalahan tersebut.
Dari Ibnu Umar r.a berkata, “Beliau (Rasulullah) memotong tangan pencuri kerana mencuri perisai (baju besi) berharga 3 dirham” (Al Bukhari dalam Al Hudud no.6796 dan Muslim dalam Al Hudud no.1686/6)
Walaupun kita hanya mencuri artikel sahaja yang nilainya kecil tetapi sikap berhati-hati perlu dalam penulisan beretika.
Kebanyakan bloggers beragama Islam pula ingin menyelitkan artikel lebih islamik kerana mempelbagaikan kategori atau label bagi artikel mereka. Maka kaedah 'copy & paste' sekali lagi digunakan. Malangnya lupa untuk
memperhalusi tahap kesahihan artikel tersebut. Asal bunyi sedikit tentang agama, terus diselitkan dalam blog masing-masing.
Ini lebih memudaratkan kerana, seorang bukan ahli agama mengeluarkan artikel agama. Lebih memburukkan keadaan adanya sabdaan nabi atau tafsiran al-quran yang tidak pasti kebenarannya. Hadis-hadis disertakan yang bertaraf doif dan lebih buruk lagi hadis-hadis maudhu' turut disertakan.
Perlu diambil perhatian, menyatakan sesuatu berkenaan nabi yang sebenarnya lansung tidak berkaitan dengan baginda bermaksud kita telah mendustakan Nabi. Hukumannya amat besar menanti sesiapa yang berdusta menggunakan nama nabi.
“Barang siapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah ia mengambil tempat tinggalnya dineraka” (Hadits Shahih, riwayat Bukhari dan Muslim).
Secara keseluruhannya dalam kita berlumpa untuk menulis blog atau menarik pengunjung melayari blog masing-masing, etika penulisan wajib diambil kira. Pepatah melayu menyebut 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa' mungkin lebih sebuai bertukar menjadi 'Kerana blog badan binasa'
Semoga peringatan ini dapat dijadikan panduan untuk kita semua termasuk penulis sendiri.
Suhaimi Ahmad
1 comments:
abang... janganler serius sangat...
he he he ha ha ha hu hu hu hi hi hi
Post a Comment