Majlis kenduri di kampung haritu masih panas lagi, jadi teringat nak cerita macam mana suasana majlis kahwin sekitar tahun 80-an.
Tak banyak perubahan dari segi cara gotong royong kerana penduduk kampung masih kuat mengamalkannya. Cumanya perbezaan ketara ialah dari segi kos perbelanjaan pastinya meningkat dengan secara mandadak.
Bagi mendapat gambaran yang lebih jelas, ada baiknya kita tengok majlis kahwin Kak Nab (salah seorang kakakku) dalam pertengahan 80-an (tahun 1984 kalau tak salah).
Perbezaan ketara orang dulu-dulu ialah masa bertunang secara senyap-senyap hanya diketahui oleh ahli keluarga terdekat sahaja. Arwah mak masa tu selalu larang kami hebahkan Kak Nab dah bertunang. Mungking ada hikmah di sebalik tu agaknya. Takut-takut berlaku insiden putus tunang. Sebab tu dilarang hebahkan kepada umum.
Bila dah ditetapkan hari nikahnya dan kad kahwin nak diedarkan barulah dibolehkan dibuat hebahan. Persiapan membuat kad agak simpel sahaja. Guna kertas A4 dan dicetak dengan banyak - digelek kata orang Kedah, kemudian lipat jadi kad. Biasanya cikgu-cikgu kampung membantu menggelek kad tersebut. Seingat aku Cikgu Che' Pi kot membatu proses kad ni. Pada masa tu tak ada kad wangi-wangi macam sekarang ni.
Mak Bapak keduanya tak tahu menulis jadi kami adik beradik tukang isi nama tetamu pada kad tersebut. Bapak akan duduk semeja untuk memberitahu nama-nama dan kakak akan menulisnya. Turutan nama mengikut kampung dan lokasi rumah jemputan tersebut bagi mengelakkan tertinggal kenalan penting.
Kad akan dihantar terus alamat secara 'by hand' dan bapak akan pergi jumpa terus dengan orang yang dijemputnya. Aku kadang-kadang akan ikut sebab bapak nak aku kenal sendiri nama-nama saudara mara walaupun dari kampung lain. Proses hantar surat ni agak ambil masa sikit sebab kampung agak jauh. Pernah pergi sampai Pedu - dalam 20 ~ 30 KM dengan motosikal.
Jumlah jemputan bergantung pada baget. Masa Kaka Nab agak besar sebab dah lama tak buat kenduri selepas Kak Balkis (kakak sulung) kahwin dalam tahun awal 70-an. Walaupun jemputan ramai tapi dengan sokongan penduduk kampung jadi tidak begitu membebankan.
Lembu memang telah ada. Dibela sendiri oleh kami sekeluarga. Disebabkan ayam masak merah merupakan sajian utama bagi setiap kenduri maka bapak mengambil jalan membela ayam. Hendak beli terus melibatkan kos yang agak besar. Abang Wahab (Abg Ipar) jadi tukang bela ayam. Reban dibina dekat dengan rumah Abg Wahab bagi memudahkan urusan bela ayam tersebut. Kesan tempat bela ayam tu dah tiada memandangkan rumah pusaka lama tu pun dah tiada. Lokasinya dalam kebun Kak Nab sekarang ni.
Zaman dulu-dulu ada padi sendiri disimpan dalam jelapang padi, jadi angkut sahaja dari jelapang dan pergi ke kilang beras. Lokasi kilang beras di Kampung Tanjung - tak jauh dari rumah dalam 2 KM sahaja. Sekarang kilang tu dah tak ada. Caranya kita bawa padi dan diprocess oleh kilang tersebut dan taukey kilang akan ambil upah dari beras tersebut. Berapa % aku tak pasti - mungking 80-20 kot. Kita dapat 80 % dan taukey ambil 20 %. Lagi satu cara jimatkan kos.
Selebihnya jiran-jiran akan membantu. Datang bawa gula, bunga telur, susu, beras dan sebagainya. Pada masa tu PakDa Kelantan (jiran sebelah rumah) yang paling banyak sumbangkan beras. Mungking kerana rezekinya lebih kot pada masa tu.
Satu keistimewaan orang kampung ni masa tu, betul-betul tolong 'support' setiap kenduri tanpa mengharapkan balasan. Untuk mengelakkan bapak lupa siapa yang tolong dia masa kenduri tu, dia buat satu buku rekod. Tulis setiap nama orang yang memberi sumbangan. Aku ngan Bacat jadi tukang tulis kali ni. Tujuannya suatu masa nanti akan balas balik sumbangan jiran tadi. Kaedah ni menggambarkan muafakat masyarakat kampung pada masa tu amat akrab sekali.
Agak berbeza kebelakangan ini di mana orang kampung lebih mementingkan hadiah cabutan bertuah yang bakal dimenangi dari membantu tuan rumah secara benar-benar ikhlas. Mungkin perubahan waktu menyebabkan faktor material menjadi rebutan.
Gotong royong masih sama seperti sekarang; proses dari sembelihan lembu dan ayam-ayam sehinggalah memasak dan berhidang. Kalau dulu semua tetamu makan berhidang. Ianya memerlukan ramai tenaga kerja sebagai 'penanggah' ataupun lebih popular di Kedah sebagai 'mentara'.
Setiap kali kenduli dulu-dulu, aku dan kawan-kawan sebaya pastinya terlibat sebagai 'mentara' ni. Ambil hidangan dan hidangkan. Tapi hidang untuk diri sendiri sahaja. Maklumlah budak-budak memang nakal kerana biasanya 'mentara' boleh makan dulu dan makan secara berselerak. Bukan makan di khemah yang disediakan. Kami akan mengaku nak jadi 'mentara' dan dapat hidangan cepat.
Lepas makan angkat pinggan ke tempat cuci dan hilang. Ketua mentara yang dilantik selalu marahkan kami dan katanya " nak jadi mentara rupa-rupanya sementara sahaja".
Berbalik cerita kenduri Kak Nab tadi, seminggu sebelum kenduri jiran-jiran dijemput untuk mesyuarat. Ketua tiap-tiap bahagian dilantik. AJK 'kedehok' - istilah untuk dapur, AJK 'mentara' , air dan sebagainya. Ketua-ketua ini akan memastikan persiapan lengkap sebelum majlis bermula.
Orang kampung mempunyai persatuan, lebih dikenali sebagai 'syarikat'. Syarikat menyediakan sewaan pinggan mangkuk untuk ahlinya dengan harga yang murah sahaja. Tuan rumah bertanggungjawab terhadap barangan yang disewa dan setiap kerosakan hendaklah diganti.
Perbezaan ketara kenduri dulu-dulu dengan sekarang. Hampir 95% persediaan dan acara majils dijalankan oleh orang kampung. Tuan rumah hanya tolong sikit-sikit saja. Masih teringat lagi bila tiap kali kenduri orang kampung akan larang mak bapak buat kerja. Kata mereka 'Pak Long dok saja, biaq kami buat. Ni kenduri pak long'.
Ini lah satu budaya yang amat baik dimana semua orang kampung akan berusaha meringankan beban tuan rumah sedaya mungkin.
Budaya gotong royong ini kian pupus terutamanya di bandar, semuanya berbayar.....
Perubahan arus kemodenan agaknya penyebab lupusnya budaya gotong royong ini agaknya.
Gambar sekadar hiasan : dari majlis Kahwin Fakrurazi baru-baru ni.
1 comments:
owh..mcm gtu ye mama naim dulu...thanx cmie citakan masa perkhwnan mama.
Post a Comment