Semalam, mama bertanya tentang QANA’AH. Terkedu seketika untuk menjawab. Sepintas di fikiran membawa maksud rasa kecukupan dan itu lan yang abah terangkan kepada mama. Rupanya tafsir makna Qana’ah itu lebih luas lagi. Dari beberapa sumber yang abah dapat di bawah ni abah ringkaskan.
Qana’ah ertinya rela menerima dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki, serta menjauhkan diri dari sifat tidak puas dan merasa kurang yang berlebihan. Qana’ah bukan bererti hidup bermalas-malasan, tidak mahu berusaha sebaik-baiknya untuk meningkatkan kesejahteraan hidup. Justeru orang yang Qana’ah itu selalu giat bekerja dan berusaha, namun apabila hasilnya tidak seperti yang diharapkan, ia akan tetap rela hati menerima hasil tersebut dengan rasa syukur kepada Allah SWT. Sikap yang demikian itu akan mendatangkan rasa tenteram dalam hidup dan menjauhkan diri dari sifat serakah dan tamak.
Abdullah bin Amru r.a. berkata: Bersabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya beruntung orang yang masuk Islam dan rezekinya cukup dan merasa cukup dengan apa-apa yang telah Allah berikan kepadanya". (H.R.Muslim)
Ini bererti bagi orang yang memiliki sifat Qana’ah ini bererti mereka ialah dari golongan terpilih dan beruntung.
Jika Qana’ah diukur dari neraca kekayaan semata-mata adalah tidak tepat nilaiannya. Rasulullah SAW menafsirkan maksud kekayaan yang sebenar. Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Nabi SAW:
"Bukanlah kekayaan itu banyak harta benda, tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan hati". ( H.R.Bukhari dan Muslim)
Ini bermakna sekaya mana sekalipun seseorang itu, jika tiada sifat Qana’ah ini bermakna dia akan sentiasa keluh kesah, gelisah dan rasa hartanya yang berjuta-juta itu masih tidak mencukupi. Dia akan terus mengambil segala peluang yang ada tanpa mengira soal halal dan haram.
Sebuah hadis jelas menggambarkan tabiat manusia seperti ini:
Jika seorang anak Adam memiliki emas sepenuh dua lembah sekalipun maka dia akan (berusaha) mencari lembah yang ketiga. Perut anak Adam tidak akan berasa puas sehinggalah dipenuhi dengan tanah. (Riwayat Bukhari).
Qanaah juga merupakan salah satu sifat Nabawi yang bermaksud rasa cukup dan puas hati dengan apa jua rezeki pemberian Allah. Qanaah juga merupakan suatu manifestasi keimanan yang mampu mengawal dan membatasi sifat ketamakan, kerakusan dan haloba yang mudah menguasai diri manusia.
Membudaya sifat qanaah dalam diri tidak pula bermakna Islam menyuruh golongan fakir miskin berpuas hati dengan taraf hidup yang rendah dan hina. Ia juga tidak bermakna bahawa kita harus berhenti mencari kekayaan yang halal, penghidupan yang baik serta kehidupan yang berkecukupan.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. sendiri pernah meminta kekayaan dan ketakwaan daripada Allah sebagaimana doa yang diriwatkan oleh Muslim dengan lafaz:
“Ya Allah, aku memohon ketakwaan, petunjuk, kemuliaan dan kekayaan kepadamu”.
Baginda juga pernah mendoakan sahabat Anas bin Malik dengan doa berikut:
“Ya Allah perbanyakkanlah hartanya.” (Riwayat Bukhari).
Yang penting kekayaan yang ingin dikecap mestilah dengan cara yang halal tanpa mencetuskan penindasan kepada orang lain. Janganlah kerana mengejar harta dunia hingga kita lupa akan tugas kita sebagai khalifah mentadbir alam ini.
Apa yang pasti sifat qanaah akan mewujudkan pola kehidupan sederhana dan menghindari gaya hidup berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan. Biasanya gaya hidup bermewah-mewahlah yang mendorong pelbagai perilaku songsang hingga tidak lagi mengenali batasan halal dan haram.
Semoga arriesfamily sentiasa kebal dengan perubahan sekitaran dan diberikan-Nya sifat Qana’ah dalam diri masing-masing.
0 comments:
Post a Comment