Blog ini mengambarkan keluarga Arrie. Berita semasa tentang perkembangan ahli keluarga. Kejayaan, kenangan pahit manis akan dinukilkan disini...

online

URL tambah duit

Friday, February 27, 2009

Indahnya Dialek (Bahasa daerah) di Kedah


Umumnya, bahasa di dunia ini bersifat rencam dan bervariasi. Di Malaysia sahaja terdapat berbagai-bagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil, dan Portugis. Bahasa inilah yang menggambarkan identiti masyarakat penutur bahasa tersebut. Oleh yang demikian, benarlah slogan untuk memperkasakan bahasa Melayu iaitu Bahasa Jiwa Bangsa yang bermaksud bahasa yang dituturkan akan menggambarkan empunya atau penutur bahasa tersebut.
Bahasa juga mempunyai bermacam-macam ragam pengucapannya. Keragaman pengucapan ini dibentuk sendiri sama ada oleh individu atau masyarakat dengan tujuan tertentu. Antaranya adalah untuk difahami oleh kumpulan masyarakat tersebut sahaja. Maka, lahirlah perbezaan bahasa untuk mewujudkan keetnikkan dan keidentitian kumpulan masyarakatnya. Perbezaan-perbezaan dalam pengwujudan sesuatu bahasa tertentu seperti yang dikatakan itu melahirkan kelainan-kelainan bagi bahasa tersebut, dan kelainan inilah yang disebut dialek atau loghat.
Negeri Kedah merupakan salah sebuah negeri di Utara Semenanjung Malaysia. Penduduk di negeri Kedah sebenarnya mempunyai dialek tersendiri dan dialek ini melambangkan jati diri bahasa masyarakat di negeri ini.Mengikut sejarah, negeri Perlis dan Pulau Pinang sebenarnya sebahagian daripada Kerajaan Besar Kedah. Namun kesan daripada konflik dalaman negeri Kedah dan tekanan pemerintahan luar, Kerajaan Besar Kedah telah menggadaikan Pulau Pinang kepada East India Company pada tahun 1786 dan Seberang Prai turut mengalami nasib yang sama pada tahun 1800.
Kerajaan Kedah juga telah menyerahkan daerah Perlis kepada kerajaan Siam pada tahun 1821 dan menyebabkan daerah ini terpisah daripada pemerintahannya.Salasilah Kedah menyatakan bahawa kawasan pemerintahan negeri Kedah pada awalnya meliputi negeri Sentol di utara (sekarang negeri ini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Thailand), negeri Perlis, negeri Kedah yang ada sekarang ini, dan pulau-pulau yang terdapat di baratnya seperti Pulau Lagkawi. Ketika Siam menawan negeri ini, Kerajaan Kedah telah dibahagikan kepada empat bahagian dan dua daripadanya ialah negeri Setol dan negeri Perlis.
Oleh yang demikian, pertuturan masyarakat di Setol tidak banyak bezanya dengan percakapan masyarakat di negeri Perlis dan Kedah.Dialek Kedah tersebar hingga ke Perak Utara berlaku atas beberapa faktor. Antaranya ialah faktor kawasan geografi, pemerintahan, peperangan dan penjajahan, perkahwinan, ekonomi dan teknologi telah menyebabkan dialek Kedah lebih mudah tersebar ke kawasan tersebut. Misalannya faktor perkahwinan terdapat seorang Menteri Kedah dan seorang keluarga diraja Kedah yang dikenal sebagai Tengku Akil (Tengku Ya’akub) dikatakan berkahwin dengan wanita Perak daripada golongan bangsawan.
Dialek Kuala Kangsar mempunyai ciri-ciri yang bercampuraduk dengan ciri-ciri dialek Perak. Contohnya Kata Ganti Diri Ketiga mereka, bagi dialek Perak dan dialek Baling di Kedah menyebut dema tetapi dialek Kuala Kangsar menyebut kome. Oleh sebab itu, dialek Kuala Kangsar ini boleh dianggap sebagai kawasan peralihan dialek Kedah kepada dialek Perak. Di kawasan inilah boleh dikatakan berlaku penipisan dialek Kedah.Dialek Kedah boleh dibahagikan kepada beberapa subdialek, iaitu subdialek-subdialek Perlis, Pulau Langkawi, Kedah Persisiran, Kedah Utara dan Pulau Pinang.
Di samping itu, di Kedah juga terdapat dialek yang dikenali sebagai pelet Siam atau pelet Petani. Bahasa ini dituturkan oleh masyarakat di daerah Padang Terap, Sik dan Baling. Ketiga-tiga daerah ini mempunyai kedudukan yang bersempadan dengan Thailand dan Perak. Oleh sebab itu, bahasa ini berkemungkinan meresap ke daerah-daerah tersebut melalui perpindahan penduduk atau hubungan masyarakat melalui kegiatan-kegiatn tertentu seperti hubungan ekonomi.
Kesan daripada perpindahan masyarakat Petani ke daerah Padang Terap, Baling dan Sik telah menyebabkan daerah-daerah ini menjadi kawasan peralihan antara dialek iaitu antara dialek Kedah dan dialek Petani. Di kawasan pertembungan dialek berkenaan, terdapat penduduk yang menuturkan dialek Kedah, dan ada penduduk yang menuturkan pelet Petani. Di samping itu, terdapat juga penduduk yang mencampur-adukkan kedua-duanya.Masyarakat di Baling dan Sik yang menuturkan dialek Petani juga memperlihatkan banyak persamaan dengan dialek Kelantan dan Terengganu.
Menurut Asmah Haji Omar (1985 : 188-189), perkara ini tidaklah bermakna bahawa orang-orang Kelantan dan Terengganu telah berpindah ke Baling dan Sik (sungguhpun kemungkinan ini tidak diketepikan), tetapi ini sebenarnya membuktikan gejala kesinambungan dialek dalam kawasan geografinya.Oleh yang demikian, dapatlah penulis menyimpulkan bahawa dialek Baling sebenarnya mempunyai percampuran daripada pelbagai dialek seperti dialek asal Baling, dialek Kedah Utara, dialek Petani, dialek Perak, dialek Kelantan dan dialek Terengganu. Dengan yang demikian, unsur-unsur percampuran dialek asing ini telah menyebabkan dialek Baling sukar difahami oleh masyarakat luar malah terdapat juga masyarakat Baling sendiri yang tidak memahami dialek Baling pedalaman kerana kepekatan dialek yang saling berbeza.
Sumber : Kajian Dialek Baling kuliah Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, Dr Adi Yasran, 2005.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

arries family Blak Magik isesigned by productive dreams for smashing magazine Bloggerized by Ipiet © 2008