Blog ini mengambarkan keluarga Arrie. Berita semasa tentang perkembangan ahli keluarga. Kejayaan, kenangan pahit manis akan dinukilkan disini...

online

URL tambah duit

Wednesday, January 28, 2009

Ammar nak gi Solat Jumaat


Bergambar 3 beradik sebelum nak gi solat Jumaat

Ammar bergaya dengan jubah nenek beli dari Mekah. Saiz cantik je.. Thanks nenek.

Ada tak gaya Da'ie....? Ni nak bagi ceramah dulu sebelum Jumaat kot.
Kalau suatu masa kelak Ammar memang gi solat Jumaat macam ni... Sejuk perut mama dia mengandungkannya..... Amin

Mandi kat Pantai Morib masa cuti CNY 2009


Sampai pantai, Park kereta dulu then cari port nak camping.

Dapat port nak landing, bentang tikar. Dina.... tak sabar nak main air, siap pakai google tu..

Khemah siap pasang, mama sibuk BBQ, sedap tu.. semua tak sabar nak makan.


Ni pulak.....
Tukang kipas, tak de api nak masak camner.

Main pasir dulu la.... lawan buat istana pasir, siapa paling cantik eh.. ?

Ni istana Arrie.. Macam cawan minuman je....

Iffa nampak lebih kemas, potensi jadi champion....

Ammar pun ada istana juga. Ada harapan dapat nombor 3 ni...


Abah berehat dalam khemah penat berkipas tadi.
Dina dah buka baju. Panas kot...


Bergaya tepi pantai. Main air memang seronok...

video
Tengok lah aksi kami masa kena ombak.
Berkelah kat pantai memang menyeronokkan, lain kali kita gi lagi...

Friday, January 23, 2009

Kisah Hidup Abah - Part 6 (Persekolahan Harian)


Gambar Penulis (Tahun 1983) , 5 dari kanan barisan belakang.

Sambungan Part 5 - Zaman Sekolah rendah

Kali ni aku nak cerita rutin harian semasa aku di sekolah rendah. Bangun pagi, dah tentu se awal pagi dalam pukul 6.00 a.m. Mandi telaga, dulu mana ada air paip lagi. Heater jauh sekali. Rumah di kampungku ada telaga 'boreng' atau lebih dikenali telaga pam. Kita kena mengepam secara manual dan air akan mengalir naik dari telaga.

Bapak dah 'upgrade' telaga tersebut dan diletakkan dalam rumah. Nasib baik tak payah keluar mandi kat luar. Keseluruhan penduduk kampung pada masa tu (tahun 80-an) guna telaga sebagai sumber air. Telaga biasanya agak jauh dari rumah sebab nak dapatkan sumber air yang baik dan banyak. Jadi bilik air dibina berasingan dari kawasan rumah.

Syukur kerana pada masa tu hanya ada 2 buah telaga pam dan rumah kami salah satunya. Kelebihan telaga ni, tak pernah surut airnya ataupun kering walaupun pada musim kemarau. Jadi ramai orang kampung akan datang ke rumah ambil air pada musim kemarau. Mungkin sebab ianya dikorek dalam ke punca air bawah tanah. Menurut bapak, dalamnya hampir 100 kaki dan dikorek oleh seorang tauke Cina dari Alor Setar. Heran juga lubang paipnya kecil aje tapi dapat masuk dalam ke perut bumi. Boleh dikira 'high technology' untuk zaman tu...

Lepas mandi siap pakai baju semua, kena tunggu bas la pulak. Bas biasa datang dalam pukul 6.30 pagi. Bas biasanya penuh. Jarang-jarang dapat duduk tapi perjalanan sejauh 5 Kilometer kira Ok lah. Kira-kira pukul 7.00 lebih sampai sekolah.

Belajar sampai pukul 12.30 t/hari lebih kurang, lepas tu tunggu bas lagi untuk balik. Masa balik agak lambat sebab kena tunggu pelajar sekolah menengah balik jam 1.00 lebih. Bas hanya ada satu saja dah tu bercampur dengan orang awam (bukan pelajar). Jadi sesaknya satu bas tu biasa la.. Kadang kala berdiri kat pintu pun pernah.

Budak-budak sekarang beruntung, bas tunggu depan pintu rumah dah tu pastinya ada tempat duduk. Penumpang cukup-cukup aja. Tapi masih lagi ramai yang ponteng sekolah. Tu yang buat aku heran sangat.....mungkin sebab terlalu dimanjakan dengan segala kemudahan kot.

Balik rumah sampai dalam 1.45 petang. Kena bersiap untuk gi sekolah KAFA pulak. Belajar agama dan ngaji Qur-an. Zaman dulu (tahun 80-an) belum ada sekolah formal macam sekarang. Kelas-kelas hanya tumpang dewan masjid. Di bawah kelolaaan Majlis Agama. Pakaian besas asal tutup aurad. Kelas bermula pukul 2.30 petang sampai 4.30 petang.
Bawah ni gambar pelajar kelas tersebut.....

Aku berbaju ungu berjalur - Kopiah pun pakai tak betul...hihi

Murid bercampur dari darjah 1 sampai 6. Syilibus tak tetap, atas kemampuan guru dan pelajar. Darjah 6 baru ada ada 'final exam' dari Majlis Agama Islam Kedah (MAIK). Lulus exam tu boleh jadi ustaz untuk kelas KAFA tersebut. Aku salah seorang yang lulus tapi sambung sekolah menengah. Jadi tak lah kerja ustaz KAFA tu....
Masjid dalam 1 Kilometer dari rumah jadi gi ngan basikal je. Orang Kedah panggil 'Gerek'. Time balik dari kelas tu, apa lagi berlumba gerek la.. Sebab keluar beramai-ramai.

Sebelum balik kena Solat Asar dulu. Ustaz kadang-kadang minta pelajar jadi imam. Aku salah seorang imam terlatih la pada masa tu. Solat Asar tak apa sebab bacaan tak perlu di jahar kan. Baca pelan-pelan je. Boleh lah...

Sampai rumah dalam pukul 5.30 petang, bersiap untuk main petang. Ni la masa paling banyak pengalaman. Berbagai-bagai jenis permainan dan pastinya bermusim.

Masa world cup main bola, Piala Thomas main badminton. Main gasing, Galah panjang - orang kedah panggil 'Toi', main getah, guli, tuju para, combat, caplong, wau dan macam macam lagi. Tapi semua permainan ni jenis yang tak kena keluar modal banyak lagi murah...... Aku bermasa Bacat (Abang - Abu Bakar) ketika demam piala Thomas - Gila nak jadi Misbun Sidek
Bersambung...nanti cerita bab permainan waktu petang dengan detail.

Kisah Hidup Abah - Part 5 (Zaman Persekolahan)


Gambar Penulis (Abah) bersama Paksu Die (Rashidi Ahmad)

Sambungan - Kisah sekolah rendah.

Darjah 1 sampai 3 sekolah sessi petang. Jadi kena bertolak pukul 11 lebih. Bas ada setiap dua jam melalui kampung ke Pekan Kuala Nerang. Biasanya aku memilih bas pukul 9.00 sebab nak pergi awal sikit. Setiap hari aku singgah di perpustakaan awam dulu sebelum ke sekolah. Buat homework kat situ. Hampir setiap hari pinjam buku-buku cerita untuk baca kat rumah.

Tambang cuma 10 sen. Mak bagi 50 sen sehari . 30 sen cukup untuk alas perut. Tahun 1978 ~ 1980 kira OK la. 30 sen boleh beli nasik lemak + air. Tu pun kadang kala aku tak makan sebab nak bawak balik 30 sen masuk tabung. Arwah mak jenis yang suka anak-anaknya berjimat cermat, jadi semua anak ada tabung masing-masing. Berlumpa pulak nak bagi penuh tabung.

Tabung bapak yang buat dari buluh sungai. Bapak memang jenis yang pandai bertukang. Cantik hasilnya. Penuh tabung akan bawak masuk bank. Masa tu cuma ada BSN.

Kadang-kadang bawak bekal. Time tu tak dapat duit makan cuma duit tambang saja. Kami adik beradik tak pernah merungut sebab memang susah hidup masa tu. Arwah mak memang mengajar anak-anak berjimat cermat dan mencari duit tambahan.



Mak akan tanam jagung belakang rumah dan dijual di pekan. Jagung yang dah siap masak, aku yang tukang jual. Di sekolah ramai kawan-kawan anak orang agak berada seperti anak cikgu, polis dan pegawai kerajaan lain. Mereka yang akan membeli jagung aku tu. Hasil jualan akan bagi 50-50, pastinya gembira sangat sebab dapat penuhkan tabung dengan cepat.

Bila tak ada jagung, aku akan cari buah jambu batu untuk jual juga. Aku kutip buah-buah yang masak kat Tandop (empangan). Sana banyak pokok jambu yang Jabatan air dan saliran (JPS) tanam.Percuma je, modalnya panjat dan kutip. Tandop tu terletak dalam 1 KM dari rumah.

Bila terkenangkan kisah dulu-dulu memang hidup kami sekeluarga susah. Seingat aku, nak merasa makan ayam terlalu jarang-jarang. Tunggu masa ada tetamu, bapak akan sembelih ayam. Tu pun ayam yang kami bela sendiri. Paling seronoh bila kenduri. Dapat rasa ayam merah. Bapak tak pernah lupa bawak aku gi kenduri walaupun jauh sampai Padang Terap (10 ~ 15 KM dari kampung). Alasan nak makan ayam.....

Kesian bila fikir balik, punya la susah zaman 80-an dulu. Budak-budak sekarang dah mewah, ayam boleh kata setiap hari makan. Dah tak hairan. Ikan dah tak mahu makan. Anak-anakku Al-hamdulillah, semua boleh makan apa yang ada. Tak kira lauk sedap ke tidak.

Sebab tu agaknya arwah mak begitu menekankan berjimat cermat. Dia ajar menabung dari kecik lagi. Guna duit untuk beli barang-barang yang membawa manfaat saja. Ajar anak-anak hidup susah. Belajar mesti rajin-rajin untuk ubah kemiskinan tersebut dan hidup dengan lebih sempurna.

Disebabkan didikan tersebut agaknya, sifatku begitu 'particular' bila nak berbelanja. Beli barang boleh, walaupun mahal harganya tapi pastikan ianya berguna. 10 sen sekalipun, aku tetap menilai adakah bermanfaat untuk keluarga.

Untuk anak-anakku dan isteri tercinta (mama), abah minta maaf kiranya abah begitu berkira dalam mengeluarkan belanja. Tapi percayalah semu itu untuk kebaikan bersama bagi melahirkan generasi yang akan datang yang mengerti akan kesusahan mengharungi hidup dan bersyukur akan apa yang ada.
Bersambung Part 6 (Kisah persekolahan harian)

Thursday, January 22, 2009

Citer lama....


Nie gambar2 lama kami yang lum sempat di uploadkan. Gambar kat atas nie gambar kampung mama di Labis, Johor. Nenek ngan atuk mama nie kira peneroka felda la. Nama glamour kami orang2 jawa nie berikan untuk moyang , buyut. Maaf kalau salah eja. Sebab tak berapa reti bahasa jawa. Bukan sebab tak mengaku jawa tapi memang tak di ajar bahasa jawa. Tak di ajar dengan kurang ajar sama ke tak sama eek?

Mama pernah bersekolah disini kat sekolah keb chempelak. Masa tu umur mama dalam 11 tahun. Tapi tak lama sebab lagi 2 bulan mama ambik upsr mama berpindah balik kat sk convent klang. Pasal apa pindah pun mama tak pasti. Yang pasti masa sekolah kat situ memang best pasal kita nie kira category pelajar cerdik. Maklumlah budak bandarkan nampak glamour sikit.
Tapi bila balik bersekolah semula kat sk convent mama jadi biasa2 je pasal persaingan kat sekolah tu lebih mencabar.

Buyut nie memang pandai menjaga kebersihan rumah. Dulu seingat mama masa mama dok kat sini, rumah nenek nie selalu dapat hadiah kawasan rumah tercantik. Banyak bunga2an yang ditanam kat sini . Kat bawah nie ada beberapa gambar yang sempat di ambil oleh photographer kami (siapa lagi abah ler)..

Ini sebahagian je tau. Banyak lagi jenis bunga yang ada kat laman rumah buyut nie.


Haa nie la contoh budak2 bandar yang jarang2 balik kg. Terlompat2, tergolek2, terkinja2. Kalau diorang nie balik kg habis mati anak2 ayam buyut. Kesian buyut ,mesti berdebar2 bila dapat tahu cicit2 nak balik.

Kita posing dulu. Dok elok2.

Bergambar sejurus sampai kat kampung. Masa tu boleh control lagi perangai diorang. Tapi sat je dalam 10 minute terus jadi tak tentu arah macam orang over dos. Baju merah yang pakai tudung hitam dan tengah dokong budak tu terkecuali yek..

Tengah dandan iffa bersiap2 sebelum berangkat pulang. Insyaallah len kali kami balik lagi.

Tuesday, January 20, 2009

Kisah Hidup Abah Part 4 (Zaman Persekolahan)


Sambungan Part 4 (Zaman Sekolah Rendah)


Tahun 1979, aku mula belajar di sekolah Rendah. Ada 2 pilihan waktu tu : Sekolah Keb. Tualak - jauh ke dalam kampung ataupun Sek. Keb. Kuala Nerang - agak pekan sikit.
Orang tua memilih sekolah kat pekan mungkin sebab kakak-kakak dan abang pun sekolah sana kot.
Jadi senang kami adik beradik naik bas yang sama.


Tapi sebagai budak-budak masa tu mesti rasa 'eksyen' sikit sebab sekolah kat pekan. Tak sedar sebenarnya pekan Kuala Nerang sendiri pun masih jauh dari pembangunan. Waktu tu hanya ada sederetan kedai-kedai runcit je.

Balai Polis pun belum ada cuma pondok polis bersebelah masjid sebelah jambatan sekarang ni. Hospital jauh sekali yang ada cuma klinik desa.

Dulu jambatan yang besar sekarang ni belum ada. Guna jambatan lama, sempit dan selalu banjir. Lokasi sangat rendah. Bila ada 2 lori besar tak boleh lalu. Kena tunggu giliran. Bila musim hujan pastinya banjir. Takleh gi sekolah, seronok giler time tu sebab boleh ponteng. Arwah mak dulu cukup pantang ponteng sekolah tanpa alasan. Nak kena rotan cubalah.....

Banyak kejadian orang mati lemas kat jambatan lama tu sebab cuba redah air yang melepasi jambatan usang tu. Setiap tahun mesti ada kes, masih teringat lagi banyak cerita-cerita orang mati lemas tersebar luas kat sekolah. Cerita tentang mayat berpaut kat dahan pokok, 2 beradik jatuh basikal dan sebagainya.

Tahun 1980 lebih (tak ingat tarikh sebenar) baru dapat jambatan baru sekarang ni. Tinggi besar dan selamat untuk menyeberang. Masih segar dalam ingatanku, mantan PM - Dr. M yang merasmikan jambatan baru tu.
Aku dan kawan-kawan sekolah jadi orang penting masa tu - pengibar bendera. PM datang dengan Helikopter mendarat betul-betul kat padang Sekolah Keb. Kuala Nerang.
Pengalaman yang tak boleh dilupakan. Kali pertama tengok Heli secara 'life'. Dasyat giler tu.... Seminggu tak habis cerita pasal Heli mendarat tu. Bila PM lalu melambai sakan aku dengan rakan-rakan.
Malam tu satu kampung gi rumah Cikgu Che' Pi - jiran kat kampung yang satu-satunya ada TV. Semua nak tengok berita - mana tau kalau-kalau ada muka termasuk TV.

TV paling besar waktu tu 20 inci hitam putih. Skrin kecik je tapi kotak kayu 'cover' TV besak sangat. Siap ada pintu boleh tarik Keseluruhan 'cover' dari kayu macam perabot. Hebat teramat sangat waktu tu......

Sejak guna jambatan baru sampai sekarang ni tak ada lagi kejadian orang mati lemas. Tak ada lagi cerita orang jumpa hantu air di sungai Kuala Nerang. Balai polis baru pun dah dibina menggantikan pondok polis lama tepi masjid tu dan jalan dibina terus melintasi jambatan barui.

Bila mengingati nostalgia lama ni memang seronok, terfikir kita bahawa anak-anak zaman sekarang hidup mewah. kenderaan hebat-hebat. Naik kereta panas sikit dah merungut, berebut nak 'air cond'. Api , letrik semua dah tersedia di depan mata. Susah nak dapat gambaran tentang susah payahnya hidup orang dulu.

Anak-anakku sekarang walaupun hidup agak lebih senang tapi aku tetap menerapkan cara hidup sederhana. Pakai pakaian sederhana mahal. Yang branded hanya untuk hari raya. Makan biar habis, jangan membazir rezki yang tuhan bagi. Pelajaran tetap menjadi keutamaan....

Bersambung........Part 5 (Kisah persekolahan).

Rumah yang menjadi kenangan



Inilah rumah kami sekeluarga sebelum kami berpindah ke rumah sewa di Sijangkang. Rumah ini abah beli pada tahun 2003 dan siap hujung tahun 2004. Rumah ini walaupun tak sebesar mana hanya bersaiz dalam ukur 20x74 kaki persegi, tapi bagi kami sudah cukup sempurna dan selesa.

Memang pada mulanya mama enggan berpindah ke tempat yang berhampiran dengan tempat kerja abah kerana di sini, Meru, mama mempunyai ramai kawan yang baik2 dan rumah nie pun mempunyai 4 bilik ruang yang agak besar bagi kami sekeluarga. Mama gembira ketika mendiami rumah ini.


Sehinggalah peristiwa yang tak dapat kami lupakan berlaku dimana rumah kami telah dimasuki 2 orang penyamun Indonesia pada pukul 4.30 pagi. Ketika itu Dina baru saja berusia 3 bulan. Sedang kami nyenyak tidur mama dikejutkan oleh lampu yang tiba2 terpasang di dalam bilik. Dengan jelas mama melihat abah diacukan parang ke leher dengan diugut oleh penyamun tersebut yang mengatakan sekiranya abah cuba melawan dia akan bunuh abah. Manakala penyamun seorang lagi meletakkan pisau di kaki Ammar yang berusia 2 tahun ketika itu. Tangan abah diikat manakala seorang lagi penyamun memerhatikan badan mama mencari barang kemas. Peristiwa ini berlaku pada tahun 2007.


Manakala Dina pula diacukan pizau ke badannya dan mama diugut sekiranya tidak menyerahkan barang kemas yang mama miliki Dina akan dibunuh. Mama termangu seketika dan cuba mengelak dengan mengatakan mama tiada barang kemas. Dengan nada keras dan pisau diletakkan rapat ke dada Dina penyamun tersebut berkata, " Aku mau barang berharga. Kalau tidak aku bunuh." Mama terdiam dan fikir sejenak kerana tidak mahu anak2 diapa-apakan akhirnya mama tunjukkan tempat mama sorokkan barang kemas tersebut.

Setelah penyamun itu dapat apa yang diingini, mereke keluar dengan melarang kami berbuat bising. Mama ikut kata penyamun itu kerana risaukan keselamatan Arrie dan Iffa yang tidur di bilik berasingan kerana mama lihat lampu dibilik mereka terpasang tetapi tiada suara kedengaran.

Stetlah mama dapati kedua2 penyamun itu melarikan diri mama segere menjenguk Iffa dan Arrie didalam bilik mereka. Alhamdullillah mereka tidak diapa2kan.

Mama berlari menjenguk ke pintu dapur dan melihat kelibat mereka berlari masuk ke dalam semak yang berhampiran.

Dina bergambar dengan anak penyewa rumah kami.

Walaupun kerugian hampir Rm9 ribu, kami masih bersyukur kami tidak diapa2kan. Selepas 2 minggu kejadian kami membuat keputusan untuk berpindah dan menyewakan rumah tersebut kepada orang lain.

Baru2 ini kami telah pergi membaiki kerosakan di bahagian tangki rumah tersebut, maka tergamitlah memori ketika tinggal di situ dan kamim juga sempat berbual2 dengan jiran2 lama.

Buat masa nie kami tidak mahu membeli rumah lain kerana tidak mau tambah hutang. Tunggu dulu kalau ada rezeki di masa akan datang. Insyaalllah.

Monday, January 19, 2009

Resepi : Pizza hawaian chicken ala mama.


Cara membuat doh pizza.
  1. I paket yis mauripan
  2. 500g high protein flour.
  3. 1 cawan air sejuk
  4. 5-6 sudu minyak zaitun
  5. 1 biji telur.
Cara caranya :
Masukkan tepung, yis dan sedikit garam. Gaul rata kesemua bahan.
Kemudian tuangkan air, minyak dan telur.
Gaulkan kesemua bahan sehingga menjadi doh. Perapkan doh yang telah ditutup kain sehingga kembang.

Sementara menunggu doh pizza kembang siapkan bahan2 yang perlu ditaburkan diatas doh pizza yang sudah siap.

Bahan2 yang diperlukan untuk hiasan atas pizza.

  1. Setengah biji nenas.
  2. Sebungkus sosej
  3. Ayam yang telah dicincang
  4. Sebiji lada benggala.
  5. Sebiji tomato
  6. Sebiji bawang besar
  7. Keju mozzarella.
  8. Daun oregano kering
  9. Sos tobasco
  10. Sos tomato preego
Gambar diatas ialah bahan2 yang telah siap dicincang.


Doh pizza di letakkan di atas pan pizza. Ratakan doh mengikut saiz ukuran pizza anda.

  1. Doh pizza tersebut diratakan. Sapukan sos preego diatasnya.
  2. Masukkan kesemua bahan kecuali keju.
  3. Taburkan sos tobasco dan akhir sekali taburkan keju mozzarella diatas sekali.
  4. Masak pada suhu 187 darjah celcius selama 25 minute.

Inilah hasilnya pizza hawaian chicken ala mama.


Anak2 yang tak sabar2 menunggu waktu untuk makan pizza. Selamat mencuba.

Friday, January 16, 2009

Melatih Arrie belajar menaip.



Saya suka menolong ayah mencuci kereta.

Saya selalu menyapu halaman rumah.

Saya kerap menyiram pokok bunga.

Saya sering membantu ibu di dapur.

Saya suka mengemaskan rumah.





Akhirnya inilah hasil Arrie. Pembelajaran hari ini ialah cara menggunakan caps lock, enter dan backspace. Semoga Arrie akan menjadi seorang kanak2 yang pandai menggunakan komputer di peringkat awal lagi.

Kisah Hidup Abah - Part 3 (Zaman Kanak-kanak)



Sambungan Part 3 (Zaman kanak-kanak)


Mengenangkan zaman kanak-kanak dulu, aku agak hairan kerana ibu bapa zaman dulu begitu percayakan anak mereka. Seingat aku aku mula pergi ke sekolah sendiri sejak tadika lagi.


Masa umur 6 tahun, bapak dan kakak-kakak ajar aku beberapa kali cara-cara naik dan turun bas. Lepas tu aku pergi sendiri. Macam tak logik aje...

Menurut cerita Kakak-kakak ku, aku memang berani gi sekolah kat Pekan Kuala Nerang seorang diri. Bukan tu aja, menurut Kak Balqis (kakak sulung) ; aku juga turut membawa Wahiba (anak Kak Balqis) bersama. Wahiba sebayaku walaupun dari segi pangkatnya dia anak saudara.


Kami akan pergi ke tadika bersama-sama dan aku akan menjadi kepalanya tanpa orang tua mengiringi.

Kak Balqis selalu cerita : aku selalu marahkan Wahiba kerana terlalu lambat orangnya. Maklumlah aku budak jenis ligat-semuanya nak cepat. Sifat baran aku memang dari kecik rupanya....

Masih lagi ku ingat pernah sekali, pemandu bas MARA (satu-satunya bas yang ada masa tu) namanya 'Mat Zain drebar' mintak aku tambang. Aku jawab : belum sekolah lagi, baru tadika.Jadi aku dan Wahiba naik bas free je....
Mat Zain drebar usik nak tangkap aku masuk jail sebab tak bayar tambang. Aku takut giler, tak dapat gambarkan sebab tu memori ni masih segar dalam ingatan..
Nasib baik Long - seorang penduduk kampung dekat dengan rumahku menenangkan keadaan.

Tu yang selalu buat aku terfikir, agaknya zaman dulu lebih aman kot. Tak ada penyamun, perompak, pencolek dan sebagainya. Sebab tu mak bapak dulu-dulu baik anak gi sekolah sorang-sorang walaupun masih kecil.
Tambahan pula jiran-jiran mengenali anak jiran masing-masing.Bukan macam sekarang, jiran sebelah pun tak tahu nama. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing.

Lepas balik sekolah tadika, pastinya main-main sebelah petang. Tak banyak kenangan main-main masa zaman tadika. Kecik lagi kot masa tu, tak ingat sangat...
Lepas tu dalam pukul 6.30 petang bersiap nak gi ngaji. Dulu pukul 6.30 petang sama macam 7.00 sekarang sebab waktu dulu lambat 30 minit. Hanya tahun 80-an, era Dr Mahathir baru waktu Semenanjung disamakan dengan waktu Sabah-Sarawak.
Gi ngaji pastinya dengan Bacat (Abu Bakar), abang terdekat denganku. Tu la satu-satunya abang yang sentiasa main bersama-sama tapi gaduh pun bersama-sama juga.

Terima kasih tak terhingga untuk Bang Li (Ustaz Ramli) yang sudi mengajar kami tak mengharapkan apa-apa bayaran.
Orang dulu-dulu memang ikhlas, ajar dengan percuma je. Sebab tu rasa hormat ibu bapa terhadap guru-guru masa tu amat tinggi.

Bang li memang garang orangnya. Rotan tersedia sebelah tangannya sebagai amaran. Sebutan, mahraj, dengu, panjang pendek betul-betul ditekankan. Al-hamdulillah sebab tu agaknya semua pelajarnya termasuk aku sendiri mampu membaca dengan betul.
Jasamu tidak ternilai harganya. Sebab tu setiap kali balik kampung, kami sekeluarga akan menziarah Abg Li. Mama (Ieda-isteriku) pun dah mesra dengan Kak Yam (Isteri Bang Li) sebab selalu gi rumah dia.

Awal 80-an, belum ada letrik kat kampung, jadi kena ngaji guna pelita. Kami semua kena bawak sorang satu pelita mingak tanah gi rumah guru. Pelita tu juga gunanya untuk jadi lampu masa balik ngaji.
Rumah Bang Li - guru yang mengajag Qur-an tu agak jaun juga dalam 400 meter. Masa balik paling mencabar. Habis ngaji dalam pukul 9.30 malam, gelapnya tak yah cakap ler.

Nasib baik ada Bacat, berani sikit. Balik dari rumah Bang Li kena lalu satu pokok besar (Pokok gemia). Mencabar sungguh bila nak melepasi pokok tu. Kami balik ramai-ramai. Bacat pula kadang kala buat nakal. Dia lari dulu, aku apa lagi....

Balik rumah berpeluh tu perkara biasa. Bila mak tanya (Dah arwah sekarang), kami dua adik beradik kontrol hensem. Tak ada apa-apa walaupun mafas tercungap-cungap.

Bila kenang balik masa dulu-dulu memang susah ngaji pun dalam gelap tapi Al-hamdulillah semua celik Al-quran. Cuma sekarang aku hairan, kemudahan dah banyak. Home tuition pun ada tapi masih ramai anak-anak muda yang buta Al-quran. Tajwid jangan cakap ler. Artis & celebrati pun hancur bila baca Qur-an dalam satu rancangan TV9 tu.

Semoga anak-anakku semuanya celik Al-quan, Insya-Allah.....

Bersambung part 4 (Cerita zaman kanak-kanak lagi)

Kisah Hidup Abah - Part 2 (5 ~ 6 Tahun)


Gambar sekadar Hiasan

Sambungan Part 2 (mula tadika)


Aku antara anak kampung yang dapat menikmati sekolah tadika sejak usia 5 tahun. Zaman sebelum tu agak susah, mungkin kerana tahap pembelajaran masih rendah. Kurang nya sekolah-sekolah tadika di waktu tu.

Januari, 1976 aku mula ke sekolah Tadika. Tak dapat dipastikan tadika anjuran siapa (mungkin KEMAS kot).

Di Kuala Nerang, pekan terdekat dengan kampungku hanya wujud 1 sekolah tadika. Itu pun kelas takida dipinjamkan dari bangunan tambahan tepi masjid Kuala Nerang.

Beruntung kerana kedua ibu bapaku mementingkan pelajaran. Jadinya aku dihantar ke Tadika. Pastinya bapak adalah orang yang bertanggungjawap menghantarku ke sekolah.


Di zaman tu, kenderaan yang terbagus dan termampu di beli hanyalah basikal. Bapak mempunyai sebuah basikal tua yang mempunyai pelantar besar, selesa bagi seorang budak kecil sepertiku. Basikal tu lah juga digunakan untuk mengangkut getah 'scrap' untuk dijual ke pekan. Hari Selasa, adalah hari pungutan 'scrap' untuk di jual maka hari tersebut kawan-kawan kat sekolah dapat menikmati bau tambahan dalam kelas.


Apa perasaan cikgu yang mengajarku pada masa tu agaknya. Pastinya tak sama macam cikgu sekarang. Cikgu dulu-dulu lebih menampakkan keikhlasan dalam mengajar. Soal bermacam bau dalam kelas tak penting, asalkan murid-murid dapat belajar mengenal ABC...

Kadang-kadang aku akan balik sekolah dengan Pak Ngah 'Man Sik'. Salah seorang penoreh kebun bapak yang masih setia sampai kini. Beliau digelar Man Sik kerana beralas dari Sik sebuah daerah bersebelahan Kuala Nerang. Pak Ngah kadang-kadang akan membawa sendiri hasil getah untuk dijual de pekan dan mengambilku dari sekolah. Hasil jualan akan di bahagi 50-50 dengan bapak.



Pak Ngah memang seorang yang jujur. Dia akan menunjukkan setiap resit jualan kepada bapak sebagai bukti dan dibahagi sama rata. Masih segar dalam ingatanku kedudukan kedai getah tadi berdekatan jambatan lama di Kuala Nerang. Getah dijual dalam 2 gread : getah keping dan getah scrap.






Untuk mendapat getah yang lebih mahal dan berkualiti Pak ngah akan memproses getah jadi getah keping. Balik dari sekolah aku juga akan membantu Pak ngah prosess getah keping tersebut. Pastinya Pak ngah akan anggap aku lebih mengacaunya dari membantu tapi dia tak pernah marah. Kerja paling senang aku boleh buat adalah mengacau cuka getah dalam acuan. Pak ngah akan masukkan cuka tersebut dan aku lah tukang kacau.

Bapak mengediakan sebuah pondok memprosess getah keping di belakang rumah, kira-kira dekat dengan kolam ikan sekarang ni. Di situlah juga disediakan tempat menyidai getah keping untuk di keringkan.


Untuk pengetahuan semua, proses membuat getah keping memang rumit. Sebab tu agaknya sekarang susah untuk kita lihat process tersebut.


Getah cair di kutip selepas di toreh. Dikumpulkan dan di masukkan dalam acuan (satu bongkah zink 4 segi tepat).


Dicampur cuka getah (sejenis asid) untuk membekukan getah tersebut.


Lepas beku, keluarkan dan dilenyek untuk dilebarkan seterusnya dimesinkan. 2 jenis mesin : lurus dan berjalur.


Hasilnya getah keping tersebut berbentuk 4 segi lebar dan berjalur seperti bunga tayar kereta.


Perlu dikeringkan, di salai dalam 3~4 hari, baru boleh dijual.





Bila fikir-fikir balik, memang susah orang dulu-dulu bekerja se awal subuh bangun menoreh. Lepas tu kutip getah, proses petang baru siap semuanya. Kita generasi sekarang patut bersyukur dengan kemewahan yang ada (bukan kempen ni....tau).


Berbalik kisah aku di Tadika tadi. Di tahun 1977 ada perkhidmatan bas dari syarikat MARA, bapak mengambil inisiatif, menghantar menggunakan bas pula. Tambang hanya 20 sen bagi orang dewasa dan 10 sen bagi kanak-kanak yang dah sekolah. Aku percuma.....ler

Bersambung - Part 3 : Kisah zaman kanak-kanakku...

Thursday, January 15, 2009

Kisah hidup Abah - part 1


Atas permintaan mama & Arrie adik beradik, abah akan menulis tentang pengalaman hidup abah pula.....

Part 1 ( Umur 1 ~ 4 tahun)

Aku di lahirkan pada 14 Feb 1972 di Kg Bendang Raja. Sebuah kampung terpencil di Kuala Nerang, Kedah. Tak banyak cerita se usia baby cuma banyak diceritakan tentang keletah ku selepas 2 tahun.

Pada tahun 1974, kedua ibu bapaku merancang menunaikan haji. Disebabkan aku baru berusia 2 tahun dan susah untuk ditinggalkan , maka aku turut dibawa bersama.

Dulu-dulu belum ada kapal terbang MAS, jadi guna jalan laut ler...

Nak gi buat haji bulan Zulhijjah, sebelum puasa (Ramadhan) dah bertolak.

2 bulan perjalanan dengan kapal. Berhenti merata tempat; Siam, India, Sri Langka dan sebagainya.Menurut cerita bapak berbagai ragamku ketika dalam kapal.

Nakal tak terkata la... maklum la, budak baru membesar.
Pernah satu kejadian aku bermain-main sekitar tangga kapal. Setiap tingkat kapal ada tangga menyambungkan antara 1st floor & 2nd floor dan seterusnya.

Kerana asyik sangat bermain kat tangga tu, aku masukkan kepala ke dalam rongga pemegang tangga. Pemegang jenis klasik berbunga-bunga. Tau-tau tersangkut kat situ....
Apa lagi melalak sakan, mana tak panik dah kepala sangkut kat situ.

Puas bapakku cuba umpil tapi takleh keluar juga. Terpaksa panggil kelasi kapal settle kan.
Pastinya keadaan tu, amat mencemaskan sebab tu kenangan ni masih segar dalam ingatan bapakku.

Bapak banyak cerita tentang aku turut mengerjakan haji bersamanya. Orang tawaf aku ikut, sa'i, melontar dan sebagainya. Cuma mungkin tak ada bacaan dan niat sebab kecik sangat waktu tu.

Bila aku penat jalan, bapak akan mengendungku atas bahuya. Selalu diulang-ulang cerita ni yang aku sentiasa diusung ke sana kemari. Melihat bapak yang semakin dimamah usia sekarang ni, terasa sedih kerana suatu ketika dulu begitu gagah aku di bahunya..

Menurut bapak lagi, aku begitu akrab dengan seorang makcik (orang kelantan). Selalu main dengannya tetapi sikap 'kelolo'ku hinggakan bila nak buang air kecil dia jadi sasaran. Bajunya jadi tandasku. Makcik ni memang penyabar. Senyum je...
Ini menunjukkan orang dahulu ke Mekah memang ikhlas dan bersih hati mereka.

Bila lihat kejadian anakku Ammar pernah sekali kencing atas mamanya walupun usia dah 3 tahun lebih, fikirku mungkin Ammar mewarisi sifat 'kelolo'ku itu agaknya.Mama pula masih tersenyum walaupun bajunya lenjun dikerjakan.
Syabas buat 'mama' - terserlah sifat keibuan sejati.

Menurut bapa, aku dikhatankan di Mekah. Masih segar ingatan bapak bagaimana aku bersemangat untuk ke tempat Khatan. Lepas selesai terus diam membisu, nangis takyah cerita ler.Bapak dimarahi oleh tok mudin Arab tu. Dari apa yang bapak faham katanya " kenapa lambat sangat bawak budak berkhatan". Rupanya orang Arab khatan masa baby lagi.

Mungkin kaedah ni sesuai dipraktiskan di Malaysia juga, sebab baby tak banyak bergerak. Cepat sembuh.
Sekarang teknologi dah canggih - khatan 2 ~ 3 hari dah elok.Lepas khatan, aku rupanya mogok - dok diam tak nak cakap, tak mau makan dan sebagainya. Tapi tahan 2 hari saja, lepas tu....'buas' balik kata orang Kedah.

Lari ke sana ke mari, lompat dan sebagainya. Luka lambat sangat nak sembuh, sampai berdarah pun pernah kata bapak.Agaknya bapak mesti pening jaga aku masa kat Mekah dulu.

Sekarang bila aku pun dah ada anak baru tahu betapa susahnya membesarkan anak-anak.
Memang kena banyak bersabar bila anak nakal sikit tapi sekarang Al-hamdulillah Arrie, Iffa dah beransur-ansur membesar banyak membantu dalam urusan rumahtangga.Mereka yang siapkan segala persiapan untuk makan bersama. Tolong angkat pinggan, ambil air, basuh pinggan, sapu lantai. Arrie rajin basuh baju malah baju, kasut sekolah pun basuh sendiri walaupun baru darjah 2.

Tahniah buat 'Mama' yang bijak mendidik mereka....

Bersambung....( Part 2 - Usia 5 tahun ++ )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

arries family Blak Magik isesigned by productive dreams for smashing magazine Bloggerized by Ipiet © 2008