Terjumpa artikel ini di laman forum Al-Fikrah. Kebanyakan dari kita hanya mengharapkan layanan dan kemesraan dapat diberikan oleh pasangan. Tetapi kita tak mampu menghulurkan sepertimana yang kita harapkan kepada pasangan.
Apa2 pun perhubungan dan kasih sayang bukan hanya dari sebelah pihak malahan kedua2nya perlu seiringan. Terima pasangan seadanya memahami pasangan bukannya hanya melemparkan kesalahan...
BUKAN SUSAH UNTUK MEMBINA KASIH SAYANG
Setiap suami sebagai ketua keluarga pasti mengimpikan untuk membina kehidupan yang bahagia dan harmoni bersama isteri tercinta. Pelbagai usaha dilakukan agar perkahwinan yang dibina akan kekal utuh sehingga ke akhir hayat. Ada sesetengah suami sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi untuk mengekalkan kasih sayang bersama isteri mereka namun kadangkala kebahagian itu tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Ada masanya tindakan-tindakan yang kelihatan seperti remeh atau kecil sebenarnya boleh memberi kesan yang lebih positif dalam memupuk kasih sayang di antara suami dan isteri.
Pada dasarnya seorang suami wajib melayani isterinya dengan perilaku yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dengan syarak dari segi material dan spiritual. Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." - Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, kitab al-Manaqib, hadis no: 3830.
Para suami hendaklah sering mencium isterinya. Budaya ini nampak seperti agak asing bagi sesetengah masyarakat di nusantara. Namun, Nabi s.a.w sering mengucup isteri dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah s.a.w pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid. Aishah r.a berkata: "Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk." - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, hadis no: 153.
Justeru, apa lagi yang menghalang kita untuk mencium isteri kita setidak-tidaknya sebelum pergi atau pulang dari tempat kerja atau dalam apa jua kesempatan yang ada? Adakalanya si suami langsung tidak memandang wajah isterinya yang mengiringinya ke pintu rumah ketika suaminya hendak keluar ke tempat kerja. Ciumlah isteri kamu wahai para suami! Ikutlah sunnah Nabi s.a.w.
Rasulullah s.a.w juga merupakan seorang insan yang begitu romantis terhadap isteri-isterinya hinggakan baginda selalu mandi bersama dengan isterinya. Aisyah r.a berkata: "Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah s.a.w menggunakan satu bekas air." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, hadis no: 250.
Baginda sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah serta disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah r.a dengan gelaran Humaira’ yang bermaksud putih kemerah-merahan bertujuan memuji kecantikannya. Aisyah r.a juga pernah menggambarkan betapa romantis baginda s.a.w sebagaimana riwayat berikut: "Suatu ketika aku telah minum. Ketika itu aku sedang haid lantas aku memberikan gelasku kepada Rasulullah dan baginda meminumnya dari kesan mulutku di gelas itu. Dalam kesempatan lain aku memakan sepotong daging, lantas aku memberikan baginda potongan daging itu dan baginda memakannya tepat di tempat aku memakannya." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 300.
Walaupun perkara-perkara ini nampak kecil, namun ia amat membahagiakan Aisyah sehingga dia sentiasa terkenangkan sikap-sikap romantis baginda s.a.w ini.
Hidup tanpa gurau senda dan tawa riang pasti akan membosankan. Ternyata Rasulullah s.a.w juga sering bergurau-senda dengan para isterinya. Sebagai contoh, Aisyah r.a telah berkata: "Rasulullah berlumba lari denganku, maka aku menang ketika itu kerana aku belum gemuk. Kemudian, setelah gemuk aku berlumba lari dengannya, maka baginda memenanginya. Lalu baginda bersabda: Kemenangan ini sebagai penebus kekalahan yang lalu.” - Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, hadis no: 2214.
Nabi s.a.w juga membenarkan nyanyian yang sesuai dengan syarak dilagukan di rumah Aishah r.a. Aisyah r.a berkata: “Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku (pada hari raya) dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu’ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, hadis no: 949.
Oleh itu, wahai suami! Bercandalah dengan isterimu. Jangan biarkan suasana di rumah anda menjadi bosan dan muram.
Walau sesibuk sekalipun mengurus tugasan hariannya, suami tetap perlu berusaha meluangkan waktu bersama isterinya. Kadangkala, kesibukan suami di luar rumah dengan kegiatan-kegiatan lain disamping mencari nafkah menyebabkan dia mengabaikan peranannya sebagai suami. Dia lupa bahawa isterinya memerlukan belaian manja seorang suami untuk menghiburkan hatinya. Adakalanya setelah penat dengan aktiviti di luar rumah suami hanya pulang dengan wajah yang kelesuan, tidak bermaya dan hanya menantikan disorong bantal untuk melelapkan mata. Yang lebih perit adalah apabila suami membawa masalah-masalah dari luar dan melepaskan geramnya terhadap isteri. Wahai para suami! Ingat Firman Allah S.W.T: "Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik." – Surah al-Nisa’: 19.
Nabi s.a.w juga pernah menasihati para sahabat r.a agar jangan terlalu menyibukkan diri dengan ibadah sehingga mengabaikan tanggungjawab melayani isteri dengan baik. Sabda Nabi s.a.w: "Wahai Abdullah (bin ‘Amr bin al-Ash r.a)! Adakah benar apa yang diceritakan kepadaku sesungguhnya engkau telah berpuasa setiap hari dan solat sepanjang malam? Aku (Abdullah bin ‘Amr) berkata: Benar wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Jangan kamu lakukan begitu. Berpuasalah dan tinggalkan (tidak berpuasa) serta solat dan tidurlah kerana sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, kedua-dua mata kamu mempunyai hak ke atas kamu, isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu dan tetamu kamu mempunyai hak ke atas kamu. Cukuplah bagi kamu berpuasa tiga hari setiap bulan dan sesungguhnya setiap kebaikan akan dibalas untukmu sebanyak sepuluh kali ganda yang sepertinya. Jika kamu melakukan begitu, ia seperti berpuasa sepanjang masa.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, hadis no 1975.
Oleh itu, walau sesibuk mana sekalipun para suami dengan tugasan di luar sama ada urusan mencari nafkah mahupun aktiviti dakwah, para isteri tetap berhak mendapat perhatian serta belaian manja daripada para suami.
Raut wajah seseorang boleh menggambar pelbagai makna dan ia boleh mempengaruhi suasana hubungan suami isteri. Wajah yang ceria tentu sekali akan menenangkan jiwa isteri. Janganlah masalah di tempat kerja di bawa pulang ke rumah sehingga menunjukkan air muka yang merengut. Apatah lagi telah sabit perintah daripada Nabi s.a.w agar kita sentiasa mempamerkan wajah yang ceria sebagaimana sabdanya: "Janganlah engkau menganggap remeh perbuatan baik walau sedikit walau hanya menampakkan wajah ceria ketika berjumpa dengan saudaramu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 2626.
Lanjutan dari hadis di atas tentu sekali apa yang paling utama bagi suami adalah menunjukkan wajah ceria kepada isteri tercinta. Di samping mempamerkan wajah yang ceria, para suami juga hendaklah menjaga penampilan diri agar sentiasa kelihatan menarik dan bersih. Ini adalah penting demi menimbulkan keselesaan dalam hubungan suami isteri. Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya. Firman Allah S.W.T: "Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)." – Surah al-Baqarah: 228.
Ibn Abbas r.a berkata: “Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senang jika isteriku berhias untukku.” Rentetan dari ini maka para suami hendaklah berusaha kelihatan bergaya sehingga sedap mata isteri memandang ke arahnya.
Perkara-perkara sebegini sepatutnya diusahakan oleh para suami untuk dipraktikkan terhadap isteri-isteri mereka yang tercinta kerana adakalanya perkara yang kecil di mata suami tetapi ia amat besar menurut pandangan isteri. Tambahan pula ianya mudah untuk dipraktikkan serta murah kerana perkara-perkara tersebut tidak memerlukan perbelanjaan yang besar bahkan percuma sebenarnya.
AKU MELIHAT PADA UMURKU 55 - LETRIK DAN AIR
4 years ago
0 comments:
Post a Comment