Keluarga Impianku....
Setiap bapa sebagai ketua keluarga mempunyai bentuk keluarga idaman masing-masing. Aku juga begitu. Aku impikan sebuah keluarga yang sederhana, tidak terlalu kaya dan tidak juga terlalu dhoif.
Asas hala tuju keluargaku mestilah menjadikan al-quran dan sunnah sebagai panduan dan rujukan. Anak-anak biarlah sederhana dalam penampilan tetapi kemas dan menepati kehendak agama.
Aurad pastinya dijaga sebaiknya. Iffa, anak ke-dua telah diasuh memakai jilbab sejak usia 3 tahun. Al-hamdulillah kini dia telah biasa dengan tudungnya. Ke mana saja dia pergi pasti tidak tinggal tudung dipakainya walaupun usianya baru 5 tahun.
Solat berjemaah mesti diamalkan walaupun sekadar 1 waktu sahaja. Arrie anak sulungku menjadi tok siak. Dia akan siapkan sejadah, iqamah dan membaca doa selepas solat. Walaupun baru 7 tahun tapi Al-hamdulillah dia mampu menghafal doa yang agak panjang. Dia bakal harapanku menjadi imam menggantikanku suatu hari nanti bila telah cukup umur dan fasih bacaan al-qurannya.
Setiap anak-anak mesti celik Al-Quran, betul qiraatnya, tajwidnya dan fasahah. Sedikit taranum kalau boleh biarlah nanti akan ada mampu membaca setaraf Qari atau Qariah. Lunak bacaan seperti Ustaz Ismail Hasyim atau sefasih Abd Basit, semerdu Saad Said Ghamidi – 3 Qari terkenal.
Arrie telah mampu membaca Al-quran tetapi masih banyak perlu dibetulkan. Harakat madnya masih perlu ditegur. Hukum nun mati dan tanwin perlu ketegasan dan kadang-kadang tersasar bacaannya. Iffa masih Iqraq 1. Kadang-kadang cemburu dengan kejayaan orang lain di mana mereka mampu mengajar anak mereka dengan biak. Anak dah khatam Quran seawal usia 6 tahun.
Sedikit majlis ilmu perlu ada dalam keluarga-Tazkirah dalam keluarga. Aku tak mampu mengajar secara terus kerana masih jahil dalam bab-bab agama, jadi mengambil rujukan kitab“fadhailul Amal”. Kitab ni terkenal dalam jemaah Tabligh. Walaupun ada pandangan bahawa kitab tersebut penuh dengan hadis-hadis dhoif namun sebagai permulaan aku teruskan juga. Sasaran sehari 1 hadis dibacakan kepada semua ahli keluarga. Walaupun Ammar (3 tahun) tidak memahami satu pun isi tazkirah tersebut memadai dia tahu adanya 1 majlis ilmu selepas solat.
Kita tak dapat lari dari bercakap hal materialistic, begitu juga aku impikan sebuah rumah yang selesa. Rumah yang ada di Meru agak selesa, namun atas sebab yang tak dapat dielakkan kami sekeluarga berpindah ke Teluk Panglima Garang. Rumah kami sewakan dan kini menyewa pula. Rumah baru ni agak sempit tapi masih OK untuk anak-anak ber-empat yang masih kecil. Suatu hari perlu mempunyai tanah sendiri munking kampung halaman dan sebuah rumah yang lebih selesa. Tapi bukan itu matlamatnya, Cuma sekadar keperluan untuk anak cucu pulang beraya suatu masa kelak.
Adalah rugi kiranya tiada kampung untuk anak cucu tumpang membakar lemang. Pastinya ku idamkan ‘family gathering’ dan rumah itu menjadi lokasinya cukup sekadar menampung anak cucu bermalam.
Setiap ibu bapa menginginkan anak-anak berjaya dunia dan akhirat. Begitu juga aku, Arie diterapkan agar suatu hari dapat menjadi seorang doctor gig (dentis). Iffa seorang ustazah, pensyarah pengajian Islam kalau boleh. Di usia 5 tahun kadang kala berubah cita-citanya, bila nampak nurse ketika merawat Ammar – nak jadi nurse katanya. Ammar masih tiada cita-cita. Biarlah telo cakapnya hilang dulu baru bercita-cita.
Impian selepas pencen, mempunyai sedikit simpanan dari duit EPF pastinya. Duduk di kampung – kerja sambil-sambil sekadar isi masa lapang. Bersama isteri tercinta menghabiskan usia tua. Pergi masjid bersama. Berterusan dalam mencari ilmu. Serati kuliah.
Di Meru dulu banyak kuliah-kuliah pengajian. Keadaan kerja pada masa tu memudahkan aku menyertai kuliah maghrib tapi kini agak terbatas. Mungkin kommitmen kerja. Al-hamdulillah kini ada internet WIFI di rumah, kami dapat download kuliah secara percuma. Dengar bila kelapangan. Banyak blog-blog yang menyediakan kemudahan mendengar ceramah on line dan download percuma umpamanya kuliah.net, maktabaty.blogspot.com,
mazhab.sementoji.net dan lain-lain lagi. Sesungguhnya usaha anda semua menyampaikan dakwah melaui internet amat besar nilainya.
Setelah melihat ramai ahli professional dapat mahir dalam selok belok agama, terasa aku juga perlu seperti mereka. Umpamanya Khairul Amin (Kamin) seorang engineer mampu manjadi panel fiqh dan juga pengasas Al-ahkam.net. Tuan Hassan Tuan Lah, manager TM juga hebat orangnya – CEO al-fikrah.net. Hafiz Firdaus seorang Pilot mampu menulis buku-buku agama yang berkualiti.
Mereka ini lebih dikenali sebagai ‘ProTaz’ lebih arif tentang hukum hakam agama kadangkala dibandingkan dengan siswazah Syariah atau Usuluddin.
Walaupun agak mustahil aku setaraf mereka tetapi sekurang-kurangnya aku dapat menjawab segala permasalahan Fiqh dengan baik bila ditanya anak dan isteri. Kiranya tak dapat menjawab aku pasti akan merujuk kedua-dua lawan web kegemaranku tadi untuk kepastian.
Menjadi harapanku anak-anak suatu hari nanti akan lebih tinggi ilmunya dari diriku ini. Mereka mampu membaca kitab-kitab asal karangan ulamak tersohor. Al-umm misalnya, Ihya ‘Umuluddin, tafsir Ibnu Kathir, Usyul Fiqh, Mustalah Hadist dan sebagainya.
Semoga apa yang dinukilkan ini dapat menjadi panduan bagiku dalam menbina keluarga. Kekuatan hanya datang dari Allah dan semoga kami sekeluarga tabah menghadapi ujian mendatang. Amin…………
Aku bersama 3 anakku, Dina masih terlalu baby pada masa gambar ini diambil.
0 comments:
Post a Comment